Sesi gotong royong persiapan makanan antara BHEP,MPP,wakil Pusat Islam dan Sukarelawan dari kalangan mahasiswa UPSI
Oleh: Tengku Farhan Haqif Tengku Mohd Zaki
Tanjung Malim- Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2023/2024 bekerjasama melaksanakan program gotong-royong menyediakan makanan untuk diagihkan kepada 1000 mahasiswa UPSI.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Amirul Haiqal Amirrudin Baki berkata program Dapur Kasih Bitara : Dapur HEPA yang diadakan pada 14 Februari lalu itu berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah ,UPSI.
Katanya, program ini bertujuan untuk menyahut aspirasi Naib Canselor UPSI, Prof. Dato Dr. Md Amin Md Taff iaitu komponen keempat daripada BITARA iaitu Adab,Akhlak dan Akademik.
Program yang melibatkan kakitangan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP),Wakil daripada Pusat Islam dan MPP sidang 2023/2024, katanya, disertai 30 sukarelawan terdiri daripada kalangan mahasiswa UPSI yang menggembleng tenaga bermula seawal jam 7 pagi sehingga 2 petang untuk penyediaan makanan,agihan dan menyimpan serta mencuci alat-alat memasak.
Komponen ke-4 BITARA iaitu memupuk adab dan akhlak dalam berkomunikasi ketika mereka bekerja dan bersosial dapat dipupuk daripada program yang dianjurkan ini .
“Selain itu, dari sudut kurikulum berteraskan realiti kehidupan, program ini memberi pendedahkan kepada pelajar yang turut serta untuk memupuk sifat kesukarelawanan dan kemahiran dalam kalangan pelajar,” katanya.

Program ini merupakan salah satu program yang bertujuan untuk menjaga kebajikan mahasiswa yang sedang berjuang di minggu peperiksaan dan mempunyai masalah kewangan di hujung semester. Dalam pada itu, program Dapur Kasih Bitara:Dapur HEPA ini juga merupakan program jangka masa panjang yang melibatkan Kerjasama Pejabat TNCHEPA,Pusat Islam ,WEZAS dan Majlis Perwakilan Pelajar sidang 2023/2024 sepanjang setahun.