Oleh: Nur Khairunnisa Ezani dan Mohd Ali Abdul Malek

UPSI, Tanjong Malim, 1 Februari 2024- Pusat Islam, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan WEZAS Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bekerjasama menjayakan Dapur Kasih Bitara Al-Mursyidin Kitchen Siri Kedua. Sebanyak 1000 pek makanan telah diedarkan secara percuma kepada seluruh mahasiswa UPSI bermula seawal jam 12.30 tengah hari bertempat di dua lokasi utama, iaitu Pintu Timur Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan Pintu Utama Kampus Sultan Azlan Shah. Program ini merupakan salah satu inisiatif daripada UPSI bagi membantu meringankan bebanan pelajar-pelajar dari segi keperluan makanan harian.

Sesi pengagihan makanan ini telah disambut baik Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin serta barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) dan seluruh warga JHEPA UPSI yang telah turut serta membantu menjayakan edaran makanan tersebut kepada mahasiswa. Di samping itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI juga telah terlibat sama bagi menyantuni pelajar-pelajar dan mengedarkan pek makanan di setiap lokasi terlibat.

Operasi Dapur Kasih Bitara Al-Mursyidin akan terus dijalankan pada siri yang akan datang secara berkala demi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terjaga oleh semua pihak. Semoga inisiatif ini sentiasa mendapat sokongan dan sambutan yang menggalakkan daripada seluruh warga UPSI untuk terus dijayakan pada masa yang akan datang.