Oleh: Nur Khairunnisa Ezani

UPSI, Tanjong Malim, 7 Februari 2024- Majlis Perasmian dan Pelancaran Skuad Santun UPSI telah diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI dan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin.

Majlis ini diadakan bagi meraikan pasukan Skuad Santun yang ditubuhkan hasil cetusan daripada usul dan tuntutan yang dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semasa Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI Siri 1 dan Siri 2 yang telah berlangsung pada tahun lalu.

Hasil pembentangan usul pertama berkaitan dengan menangani isu sosial dan pergaulan bebas melalui penubuhan unit pantauan dengan kerjasama Bahagian Keselamatan UPSI dan Persatuan Gagasan Islam UPSI telah dibentangkan semasa Persidangan Parlimen UPSI Siri 1 manakala usul kedua pula iaitu, mempergiatkan gerakan unit pantauan dengan melibatkan pemantauan operasi di kolej-kolej kediaman dan Kampus Sultan Azlan Shah dengan melibatkan jawatankuasa ahli-ahli penggerak unit pantauan daripada kalangan anggota unit badan beruniform UPSI iaitu SISPA, SUKSIS dan PALAPES telah dibentangkan semasa Persidangan Parlimen UPSI Siri 2.

Kedua-dua usul ini telah diluluskan dengan mendapat undian majoriti daripada ahli-ahli dewan Persidangan Parlimen Mahasiswa UPSI yang lalu. Justeru, penubuhan Skuad Santun ini akan diteruskan oleh Exco Kesukarelawanan dan Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar UPSI sidang 2023/2024, Muhammad Afizi Zazani Muddin selaku Ketua Skuad Santun bagi sesi 2023/2024.

Hasrat dan tuntutan yang telah dibawa bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain ini telah berjaya dilunaskan dengan sokongan serta dorongan yang padu daripada pihak PTj yang terlibat iaitu, Timbalan Pendaftar Kanan JHEPA, Pengarah Pusat Islam, Bahagian Keselamatan, Pengetua-pengetua Kolej Kediaman, Pusat Ulul Albab dan Pusat Kaunseling yang turut sama membantu bagi menjayakan proses untuk menubuhkan pasukan Skuad Santun UPSI ini.

Lafaz Ikrar Aku Janji Skuad Santun UPSI
Penyerahan Borang Aku Janji Skuad Santun UPSI
Sesi Rondaan Skuad Santun UPSI

Dalam pada itu, Profesor Dr. Norkhalid menyatakan “Tujuan utama penubuhan Skuad Santun ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk dijadikan sebagai salah satu pemacu bagi menaikkan lagi nama UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan yang melahirkan mahasiswa mapan dari segi adab, akhlak, akademik dan sahsiah diri sebelum meneruskan perjuangan mereka untuk menyebarkan ilmu di persada dunia dan seisinya.”

“Saya berharap agar Pasukan Skuad Santun ini dapat meneruskan usaha serta perjuangan demi mewujudkan persekitaran universiti yang bebas dari segala gejala sosial agar tidak terus berleluasa sekaligus menjadi role model yang terbaik kepada semua mahasiswa dari segi kepimpinan, akhlak, adab dan terutamanya dari segi pembentukan kepribadian sahsiah yang tinggi serta terpuji,” katanya lagi.

Timbalan Pendaftar Kanan JHEPA, Maskana Ahmad mengatakan “Pasukan Skuad Santun UPSI ini perlu diwujudkan dan sewajarnya memainkan peranan untuk sama-sama membantu pihak universiti mengatasi segala isu-isu berkaitan sosial dalam kalangan mahasiswa di UPSI.”

Barisan Kepimpinan Skuad Santun UPSI ini telah dianggotai seramai 80 orang ahli skuad yang terdiri daripada 20 Badan Pelajar terlibat iaitu, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Persatuan Sahabat Muzium UPSI, Kelab Al-Mursyidin, Rakan Siswa Yadim, Persatuan Bahasa Arab, Persatuan Tahfiz Qiraat, Persatuan Pendidikan Islam, HARMONI, Kelab Sahabat Ulul Albab, Pembimbing Rakan Siswa, Psychological First Aid, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO), Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Kolej Aminuddin Baki (KAB), Kolej Za’ba (KZ), Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dan tiga unit badan beruniform UPSI iaitu, SISPA, SUKSIS dan PALAPES.

Penubuhan Skuad Santun UPSI yang berpegang utuh dengan Empat Konsep Teras Utama iaitu Senyum, Salam, Sapa dan Santuni mahasiswa berganding bahu untuk menjaga nama baik universiti dengan mengatasi segala gejala sosial yang berlaku di kampus mahupun di luar kampus UPSI.