Oleh: Hafiz Abd Manap & Haikal Hakim

Kampar, Perak– Menjelang perayaan Tahun Baru Cina, rumah warga emas menjadi salah satu tempat yang menghadirkan kekayaan tradisi dan serangkaian upacara yang memancarkan nuansa kebahagiaan.

Rombongan mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS) bersama Majlis Anak Johor (Major) dan Himpunan Anak Darul Ridzuan (HADARI) seramai 15 orang mahasiswa termasuk seorang pegawai sebarkan kegembiraan di Rumah Warga Emas Marian di Kampar melalui program KAHS Community Service: Sharing The Togetherness Through CNY.

Menyantuni para penghuni di rumah warga emas tersebut, mahasiswa bukan sahaja dapat membantu membersihkan kawasan sekitar rumah melalui aktiviti gotong-royong, malah dapat menghidangkan makan tengahari kepada seluruh warga rumah emas dan berpeluang menghias rumah warga emas dengan dekorasi sambutan Tahun Baru Cina.

Dalam suasana yang penuh keakraban, mahasiswa dan semua warga emas saling berbagi cerita dan pengalaman, menciptakan kenangan antara satu sama lain. Mereka sangat gembira dan berterima kasih atas kehadiran mahasiswa UPSI yang telah mewarnai rumah warga emas tersebut dengan pelbagai aktiviti yang menarik, kata penjaga rumah warga emas tersebut, Patricia atau lebih mesra dipanggil Madam Patricia.

Menurut Pengarah Program, Adib An’Nasrullah “Program pada kali ini dilaksanakan bagi berkongsi rasa dan suasana menyambut ketibaan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi. Mereka yang tinggal di rumah jagaan ini seharusnya menikmati dan merasai juga keghairahan dalam menyambut tahun baru,” katanya lagi.

Tidak hanya sekadar menyenangkan hati, mahasiswa juga turut menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan harian kepada warga emas, bantuan kecil ini menjadi tanda kebaikan dan perhatian kepada mereka yang telah banyak berjasa dalam membangun masyarakat.

Program santunan ini bukan hanya menjadi kesempatan untuk merayakan, tetapi juga untuk menghargai dan menghormati perpaduan kaum dalam masyarakat di Malaysia. Dalam kehangatan dan kebersamaan, mahasiswa dan warga emas menunjukkan kepada semua bahawa semangat kemanusiaan dan kebaikan hati adalah nilai-nilai yang tetap hidup, selalu ada untuk disebarkan kepada generasi berikutnya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)