YDP MPPUPSI menyampaikan ucapan kepada para hadirin
Tanjung Malim: Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2023/2024 yang baru dilantik baru-baru ini akan menunaikan tanggungjawab dan amanah seperti yang diharapkan oleh semua mahasiswa.
Justeru, sempena Majlis Watikah Pelantikan, Yang Dipertua MPPUPSI sidang 2023/2024, Amirul Haiqal Amirrudin Baki berkata tiga fokus utama MPPUPSI sidang 2023/2024 adalah Pengantarabangsaan, Kemampanan Kebajikan dan Pembangunan Mahasiswa
Katanya, MPP akan memberi tumpuan terhadap kebajikan pelajar dalam situasi menghadapi cabaran kos hidup yang tinggi.
“Kami juga akan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan mahasiswa supaya mereka semua bukan sahaja menikmati pelbagai kemudahan malah menjadi mahasiswa yang memiliki kepelbagaian kebolehan,” katanya.
Hal itu penting katanya, sebagai persiapan diri sebelum bergraduat kerana cabaran kerjaya dan kehidupan yang semakin mencabar dan mengharungi kebolehpasaran yang penuh persaingan.
Amirul berkata selepas menjalani bengkel dan menerima watikah pelantikan di Pulau Pangkor, MPPUPSI kini hadir dengan nafas dan azam baharu untuk membantu mahasiswa serta mengharumkan nama universiti.
Seiring dengan seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi amanat daripada Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir iaitu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, MPPUPSI menyahut seruan demikian demi mencipta peluang bagi mahasiswa UPSI dapat merasai pengalaman di luar negara serta dapat menarik minat luar untuk berkunjung ke UPSI juga.
Malahan, katanya, moto yang diterapkan Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff iaitu “Bring the world to UPSI” menjadi inspirasi dalam usaha melahirkan mahasiswa UPSI yang berminda global, seterusnya membantu dalam pembangunan universiti dan masyarakat setempat.
“Fokus kedua adalah kemampanan kebajikan mahasiswa yang menjadi tugas utama MPP untuk menjaga kebajikan mahasiswa, MPPUPSI komited untuk menambah baik inisiatif kebajikan yang ada serta bekerjasama bersama Pusat Tanggungjawab yang terlibat untuk menjaga kebajikan mahasiswa.
Amirul Haiqal berkata MPPUPSI juga akan berusaha untuk mencari peluang menambah bantuan bagi mahasiswa agar kesejahteraan mahasiswa kekal terjaga.
Selain itu seiring dengan Aspirasi Naib Canselor UPSI iaitu BITARA, MPP UPSI akan memfokuskan kepada elemen keempat iaitu Adab, Akhlak dan Akademik, manakala fokus terakhir adalah untuk membangunkan mahasiswa yang tinggi nilai adabnya, sopan akhlaknya dan cemerlang akademik.
“MPP akan memberi fokus terhadap program-program bersifat upskilling dan kempen yang berterusan supaya UPSI dapat melahirkan mahasiswa yang kalis cabaran masa hadapan.
Sehubungan dengan itu, katanya, MPPUPSI mengharapkan kerjasama semua pihak di dalam dan luar kampus bagi menjayakan tiga fokus utama ini supaya dapat dimanfaatkan bersama untuk mahasiswa, warga universiti serta universiti itu sendiri.