Peserta Program cuti sekolah “All Rounded Glamping” @ NCDRC dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan

Tanjong Malim: Cuti sekolah sentiasa dinantikan oleh kanak-kanak untuk mengisi masa luang mereka dengan pelbagai aktiviti yang direncanakan. Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak (NCDRC) mengambil inisiatif menganjurkan program ’All Rounded Glamping’ bersempena minggu cuti sekolah dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tujuan program ini adalah untuk melatih dan membimbing kanak-kanak yang berumur 5 hingga 12 tahun mencabar daya tahan diri mereka melalui aktiviti bertemakan perkhemahan dari segi teori dan amali.

Program yang berlangsung dari 12 hingga 16 Februari lalu melibatkan 52 orang kanak-kanak yang didedahkan dengan kemahiran asas mengenal kompas dan ikatan tali yang dibimbing oleh Dr Noorzaliza Osman (FSSKj). Kanak-kanak juga diberi peluang untuk meneroka hutan dan belajar mengenai alam semulajadi di UPSI Adventure Park (UAP) yang diketuai oleh Andy Razeydan dan rakan-rakan fasilitator daripada FSP-FSSK Response Team. Kemahiran kelangsungan hidup dan asas pemasangan khemah turut dipelajari oleh kanak-kanak. Aktiviti kemuncak adalah campfire, BBQ  dan membakar marshmallow  yang mencabar daya tahan diri kanak-kanak untuk bermalam di dalam khemah tanpa kehadiran ibu dan ayah; hanya ditemani oleh pendidik dan pembantu guru TASKA dan TADIKA NCDRC yang penyayang.

Kanak-kanak meneroka alam semulajadi di UPSI Adventure Park

Kesemua aktiviti yang dilaksanakan mempunyai matlamat untuk meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Antaranya adalah kemahiran sosial dalam menjalinkan hubungan dan kepercayaan dengan rakan baharu yang berbeza umur serta saling mengambil berat dalam situasi yang mencabar. Selain itu, kanak-kanak juga diterapkan dengan sifat berdikari terutamanya ketika mereka perlu bergantung kepada diri sendiri dan rakan sepasukan semasa meneroka alam semulajadi di dalam hutan. Pendidik, pembantu guru dan fasilitator juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk yakin pada diri sepanjang aktiviti kemahiran kelangsungan hidup. Setiap aktiviti yang dirancang adalah bagi memastikan kanak-kanak mengalami pengalaman pertama yang memandu mereka untuk menjadi seorang individu yang mempunyai daya tahan diri yang positif.

Kehadiran Prof Dato’ Md Amin Md Taff, Naib Canselor UPSI pada malam campfire telah memberi dorongan dan semangat kepada NCDRC, khususnya Unit Perkembangan Kanak-kanak untuk meneruskan program ini pada setiap cuti sekolah. Matlamatnya adalah untuk menyediakan kanak-kanak dengan perkembangan menyeluruh melalui kemahiran kelangsungan hidup dan daya tahan diri yang bermakna untuk mereka.

Ibubapa juga memainkan peranan yang penting dengan memberi kepercayaan kepada kanak-kanak untuk mereka mengalami suasana bermalam tanpa tilam empuk dan pelukan ibu ayah. Peluang ini akan menjadi ingatan manis bagi kanak-kanak untuk mereka melangkah ke satu tahap kehidupan baharu yang penuh dengan cabaran yang tidak diduga. Pengalaman sebenar di luar bilik darjah memberikan pengetahuan mendalam kepada kanak-kanak dalam tempoh mereka membesar dan beradaptasi dengan alam semulajadi untuk menjadi seorang individu yang sentiasa bersedia dengan apa jua halangan yang akan ditempuh pada masa akan datang.