Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri
Tanjong Malim– Pusat Kaunseling UPSI telah menerima kunjungan daripada Bahagian Seksyen Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak pada 14 Mac lalu. Kunjungan tersebut telah dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Mohd Fakhrul Nizam Pakhruddin menyaksikan beberapa kesepakatan yang diperoleh dalam usaha untuk memberikan manfaat kepada murid-murid sekolah di sekitar negeri Perak.


Kunjungan ini diadakan bertujuan merangka kolaborasi program antara Pembimbing Rakan Siswa Bongsu (sekolah rendah) dan Sulong (sekolah menengah) dengan Pusat Kaunseling UPSI. Penglibatan ini melibatkan peringkat Negeri Perak yang merangkumi keseluruhan Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di negeri ini. Bentuk kerjasama yang terjalin melibatkan kolaborasi dari sudut penganjuran program dari aspek pembangunan sahsiah dan kepimpinan dalam kalangan murid. Program-program berbentuk sedemikian dapat memberikan pengalaman awal kepada murid-murid sebagai pemimpin dan dapat membentuk karaktor yang berwibawi dan berkarisma. Penglibatan Pusat Kaunseling UPSI dalam kerjasama ini dapat memberikan sumbangan perkongsian tenaga pakar yang berkredibaliti dalam bidang kepakaran masing-masing bagi menjayakan program peringkat kebangsaan ini.
Hasil perbincangan ini telah mencapai kata sepakat daripada kedua buah pihak dalam usaha untuk memastikan hasrat ini dapat direalisasikan. Kesepakatan ini dilihat melalui pemeteraian kerjasama dalam pelaksanaan Program Pembimbing Rakan Siswa Bongsu dan Sulong Peringkat Negeri Perak antara Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Pusat Kaunseling UPSI. Program-program yang akan dirangka dan dilaksana meliputi program Pembangunan Sahsiah Murid, Kepimpinan dan Akademik. Ini membuktikan bahawa Pusat Kaunseling UPSI juga dilihat sebagai sebuah entiti yang menjadi rujukan bukan sahaja melibatkan pihak dalaman UPSI malah pihak luar. Pusat Kaunseling UPSI memiliki potensi dalam menjadi rujukan dan merangka aktiviti dan program bukan sahaja untuk mahasiswa UPSI, malah melibatkan institusi lain sama ada di peringkat sekolah, universiti mahupun komuniti.
