Oleh: Musa Jaafar
Tanjung Malim- Pusat Ulul Albab (PUA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan hormat dari Yayasan Terengganu dari 24 Mac hingga 25 Mac lalu. Kunjungan ini bertujuan mengambil ruang dan peluang, pengalaman yang sinonim dalam membangunkan Ulul Albab serta berkongsi idea dalam melihat rangka program Andalusian Scholars serta kerjasama yang boleh dikembangkan secara bersama.
Delegasi rombongan Yayasan Terengganu terdiri dari lima orang pegawai diketuai oleh Pengarah Yayasan Terengganu Dato’ Haji Mohd. Azmi Mohammad Daham, Timbalan Pengarah Pendidikan Tuan Haji Megat Samsuddin Megat Yusof, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Imtiaz, Mohd. Nazri bin Muda, Penolong Pengarah Kanan, Pentadbiran Imtiaz, Mohd. Rozaizam Yusoff dan Penolong Pengarah Quranik, Muhammad Rifqi Rosli. Kunjungan hormat ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat, Perpustakaan Tuanku Bainun dan taklimat lawatan telah disampaikan oleh Dr. Sakinah Salleh , Pengarah Pusat Ulul Albab di samping tayangan video korporat Ulul Albab. Kunjungan hormat ini merupakan platform bagi membincang dan mengeratkan hubungan antara UPSI dan Yayasan Terengganu terutamanya dalam konteks memperluaskan pendidikan anak-anak muda Melayu ke tahap yang lebih tinggi.
Dr. Sakinah dalam ucapannya sangat teruja dengan kehadiran delegasi Yayasan Terengganu yang mana sebelum ini PUA yang banyak merujuk kepada pihak Yayasan. Menurut beliau kedua-dua pihak boleh meningkatkan jaringan kerjasama yang sedia ada dan seterusnya mempelawa Yayasan dalam pembangunan program Andalusian Scholars terutamya dari segi penajaan, mendapatkan profesor penasihat dan penubuhan kursi baharu di University of Cambridge. Selain itu, Yayasan Terengganu juga dipelawa untuk menghantar penyertaan berkaitan pertandingan bakat dan inovasi yang dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab bagi mengembangkan potensi guru-guru dan murid dia bawah seliaan meraka.
Menurut Dato’ Azmi, di Terengganu sahaja sudah ada lapan buah Sekolah Imtiaz dan sejak beroperasi 20 tahun lalu, Sekolah Imtiaz telah menjadi pilihan utama pelajar. Katanya, ini dibuktikan melalui data 5,000 permohonan masuk setiap tahun. Beliau mengakui memang amat ketara perbezaan murid-murid sekolah yang ada Ulul Albab dengan sekolah lain dari segi adab dan akhlak serta pencapaian akademik. Selain itu, masalah pertukaran guru-guru di Sekolah Imtiaz diberi keutamaan kepada guru-guru yang mempunyai pedagogi Ulul Albab tanpa mengambil kira pangkat dan kedudukan guru tersebut.
Segala perkongsian dan percambahan idea antara kedua-dua agensi dapat memperkukuh pelaksanaan program Andalusian Scholars dan pihak Yayasan Terengganu sentiasa menyokong penuh pembangunan program ini. Pusat Ulul Albab turut berhasrat untuk melaksanakan kunjungan balas ke Yayasan Terengganu bagi memastikan segala usahasama yang dihajatkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Menjadi harapan kedua-dua pihak agar hubungan strategik ini dikekalkan dalam usaha menyokong kualiti pendidikan yang cemerlang untuk masa kini dan masa hadapan.