Tanjong Malim, 28 Mac 2023 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Bingkisan Ramadan dengan kerjasama Yayasan Maghfirah, ADUN Behrang dan Balai Polis Tanjong Malim. Program ini merupakan agihan juadah berbuka puasa kepada mahasiswa UPSI serta komuniti sekitar Tanjong Malim di beberapa kawasan yang tertentu sebanyak 300 pek makanan.

Melalui kerjasama dengan pertubuhan setempat, MPP UPSI telah mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak. Sebanyak 200 pek makanan adalah sumbangan daripada Yayasan Maghfirah, manakala 100 pek makanan lagi merupakan sumbangan daripada ADUN Behrang. Agihan ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Maghfirah, wakil daripada ADUN BEHRANG dan juga pegawai Hal Ehwal Pelajar UPSI.

Terdapat lima kawasan yang menjadi sasaran pengagihan makanan iaitu Kolej Ungku Omar, Kolej Aminuddin Baki, Taman Bernam, Taman Bahtera dan juga Taman Universiti. Kawasan yang dipilih adalah berdasarkan tinjauan keberadaan mahasiswa UPSI dan juga komuniti Tanjong Malim yang dilakukan oleh MPP UPSI dengan bantuan Balai Polis Tanjong Malim.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Maghfirah, Siti Nor Mariam turut meluahkan rasa gembira dan teruja kerana ini adalah kali pertama beliau menyertai pengagihan makanan yang melibatkan mahasiswa dan juga komuniti.

Wakil daripada ADUN Behrang, Nazri sempat beramah mesra dengan mahasiswa UPSI yang tidak pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan Aidilfitri.

Agihan juadah berbuka puasa ini merupakan salah satu tradisi UPSI sewaktu bulan Ramadan. Penglibatan mahasiswa UPSI dan juga komuniti mampu meningkatkan solidariti antara kedua-dua pihak. Program ini juga memperlihatkan komitmen mahasiswa UPSI dalam melibatkan diri secara aktif dalam mengimarahkan bulan Ramadan di samping menyumbang kepada pembangunan sosial di Tanjong Malim.

Program ini bukan sahaja memberi makanan, tetapi dapat membina kesedaran dan penghargaan terhadap kepelbagaian sosial serta keperluan komuniti yang lebih besar. Dengan usaha yang berterusan, semangat kebersamaan ini akan terus mengukuhkan jalinan sosial dan integrasi antara mahasiswa UPSI dan komuniti sekitar Tanjong Malim. Terima kasih diucapkan kepada Yayasan Maghfirah dan ADUN Behrang kerana telah menyumbang dan berkongsi rezeki bersama mahasiswa UPSI dan komuniti Tanjong Malim. Diharapkan agar program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)