Oleh: Fajrul Solehien

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Majlis Perpisahan dan Clock out untuk menghormati Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB), Ir. Ts. Zulkefly Mohd Yusof yang akan bersara selepas berkhidmat lebih daripada 24 tahun di universiti ini.

Majlis dimulakan dengan konvoi dan perarakan En. Zulkefly mengelilingi Kampus Sultan Abdul Jalil Shah menuju ke Bangunan Canselori, kemudian beliau disambut oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berserta Jawatan Kuasa Pengurusan Universiti dan kakitangan JPPHB.

Dalam ucapan perasmian, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkongsi pengalaman beliau bersama En Zulkefly, bermula dari zaman beliau sebagai pelajar di UPSI hingga kini sebagai Naib Canselor.

“En Zul adalah seorang pegawai yang tidak sombong dan sentiasa bersedia berkongsi ilmu, walaupun telah lama berkhidmat.

 Saya mengajak semua staf untuk terus memberikan sokongan kepada pengganti Ir. Ts. Zulkefly supaya warisan khidmat beliau dapat diteruskan dengan cemerlang” kata beliau.

Seterusnya, En Zulkefly Mohd Yusof dalam ucapan terakhir beliau sebelum bersara, merakamkan penghargaan dan kesyukuran atas tempoh perkhidmatannya di UPSI.

Tambah beliau “Tanpa sokongan staf, saya hanyalah seorang jurutera kosong, tiada sesuatu urusan boleh diselsaikan sendirian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu serta berharap agar segala yang saya berikan, termasuk ilmu, dapat dihalalkan”.

Beliau menyatakan bahawa beliau sentiasa mengenang UPSI sebagai sebuah institusi yang membentuk karakter dan karier beliau.

Program seterusnya diiringi dengan Upacara Penyerahan Nota Serah Tugas kepada En. Saiduri Dolah yang akan menggantikan En. Zulkefly sebagai Pengarah JPPHB, serta penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau kepada UPSI.

Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; serta Pemangku Pengarah JPPHB, En. Saiduri Dolah.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)