Tanjong Malim- Bersempena Ramadan1445H, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2023/2024 bekerjasama dengan Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi menjayakan Program Agihan Berbuka Puasa dan Moreh bermula pada 19 hingga 25 Mac di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah.


Program ini diadakan bagi menyuntik semangat mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti sepanjang bulan Ramadan. Di samping itu, agihan makanan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada pelajar yang tinggal di kolej kediaman sepanjang kuliah dalam talian berlangsung sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara pelajar.
Sebanyak RM 14,120 yang telah diperuntukkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar kepada Pusat Islam UPSI bagi sama-sama menjayakan program ini. Hasil sumbangan itu, 200 pek makanan berbuka puasa dan 100 pek makanan moreh telah diagihkan kepada mahasiswa UPSI. Diharapkan kerjasama antara MPP dan Pusat Islam UPSI dapat diteruskan lagi agar lebih banyak program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang. Usaha murni ini menunjukkan sikap prihatin MPP terhadap mahasiswa UPSI terutamanya bagi meraikan pelajar beragama Islam yang berpuasa.


Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari mahasiswa UPSI dalam memeriahkan suasana Ramadan kali ini di UPSI. Diharapkan program agihan makanan perlu diteruskan pada masa hadapan agar kebajikan pelajar sentiasa terpelihara.