Kuala Lumpur, 07 April 2024: Pusat Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Bengkel dan Mesyuarat Pelan Strategik serta Hala Tuju Pusat Sukan 2024 pada 6 hingga 8 Mac lalu bertempat di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Bengkel ini disertai oleh 23 orang peserta yang terdiri dari semua Ketua-ketua unit dan staf Pusat Sukan.
Bengkel ini bertujuan bagi menyemak fungsi dan senarai tugas kakitangan Pusat Sukan UPSI selain bermatlamat untuk menyelaraskan KPI Pusat Sukan selaras dengan pelan strategik UPSI 2021-2025.
”Sebaik-baiknya kita fokus kepada sukan individu seperti silat, renang memandangkan sukan seperti ini menyumbang bilangan pingat yang lebih banyak. Pusat Sukan perlu bekerjasama dengan Pusat Kokurikulum dan Fakulti Sains Sukan Kejurulatihan bagi mengenalpasti bakat atlet dan sekaligus mencari pelapis. Seterusnya, Pusat Sukan perlu lebih aktif bagi mempromosikan kemudahan fasiliti sukan supaya dapat meningkatkan lagi penjanaan dan menggunakan duit penjanaan bagi menaik taraf kemudahan seperti Asrama Marina,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang merasmikan bengkel tersebut.
Beliau menekankan empat aspek iaitu kejayaan atlet, penglibatan komuniti, promosi kemudahan dan hasil penjanaan Pusat Sukan.
”Kelab-kelab sukan digalakkan menganjur program pada hujung minggu yang melibatkan komuniti. Penglibatan komuniti sangat penting bagi mengeratkan silaturahim, meningkatkan penjanaan serta dapat mengenalkan sukan-sukan di UPSI.” tambahnya lagi.
Pusat Sukan merupakan nadi utama universiti. Oleh itu, penambahbaikan perlu sering dilakukan bagi mengekalkan kejayaan.