Tanjong Malim, 22 Mac 2024: Majlis Apresiasi & Majlis Berbuka Puasa telah diadakan bagi meraikan atlet-atlet olahraga MSN yang bertungkus lumus menjalani kem latihan sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis yang diadakan di di Scholar’s Suite UPSI turut dihadiri oleh Naib Canselor UPSI, Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli, Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Dr. Jaffry Zakaria dan ketua-ketua Jabatan UPSI.

”Kem latihan ini juga disertai oleh pasukan olahraga UPSI dan telah bermula pada 12 Mac lalu dan akan berakhir pada 10 April ini. Pasukan olahraga MSN kini dalam persiapan ke Temasya Sukan Sea Thailand 2025 dan Kejohanan Olahraga Asia 2025,” kata Jurulatih Pasukan Olahraga Majlis Sukan Negara, Mohd Poad Md Kassim.

Bagi pasukan para olahraga (sprinter) pula, ini merupakan Kem Latihan Fasa 2 dan telah bermula pada 11 Mac sehingga 5 April. Para olahraga (sprinter) sedang membuat persediaan ke arah Kejohanan Dunia Para Olahraga di Kobe Jepun yang bakal berlangsung pada 12 hingga 26 Mei.

Jurulatih Pasukan Para Olahraga (Sprinters) MSN, Hamberi Mahat, mengucapkan ribuan terima kasih kerana menerima pasukan mereka bagi menjalankan latihan pusat di UPSI. Beliau turut mengatakan bahawa UPSI adalah tempat yang stategik dan menenangkan kerana jauh dari kesesakan bandaraya.