Labis, 3 April 2024: Kongsi rahmat Ramadan bersama murid orang asli adalah inisiatif Pusat Ulul Albab dengan kerjasama Yayasan Perantau Maahad Muhammadi (YAYASAN PERAMAH) dan Alumni Sek Men Agama Sultan Azlan Shah (SMAKASAS) menyantuni 140 murid orang asli di Kampung Kedung, Bekok, Johor.
Isu pemerkasaan dan kelangsungan pendidikan masyarakat Orang Asli merupakan isu yang sering menjadi titik fokus dalam agenda pendidikan di Malaysia. Pelbagai cabaran dihadapi dalam memastikan tahap kecemerlangan pendidikan Orang Asli dapat dipertingkatkan. Usaha perlu dilakukan bagi memperbaiki dan mengubah kehidupan Orang Asli ke arah memperkasakan kehidupan mereka menjadi lebih baik.
Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr Sakinah Salleh telah menerima undangan daripada SK Kg Kudung bagi memberikan motivasi kecemerlangan kepada murid-murid orang Asli di sekolah tersebut. SK Kampong Kudung merupakan sekolah orang Asli yang mana terdapat juga pelajar berkeperluan khas.

Program ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada murid Orang Asli tentang hala tuju pendidikan serta pendedahan strategi belajar yang berkesan. Program kesedaran dibuat dari masa ke semasa bagi memastikan masyarakat Orang Asli dapat mengubah cara hidup demi kemajuan.
Perhatian kepada murid Orang Asli adalah penting agar proses pendidikan menjadi satu pemangkin kepada transformasi kehidupan yang lebih baik. Proses pendidikan dan pembangunan akan dapat memberi kesejahteraan, keselamatan dan mengintegrasikan masyarakat Orang Asli dengan bangsa lain ke arah mencapai matlamat pembangunan lestari yang diimpikan.
Selain memberikan motivasi kepada pelajar dan menyebarkan kebaikan, PUA juga berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan. Pihak Yayasan Peramah telah menaja sumbangan barangan makanan manakala sumbangan duit raya bagi pelajar Islam di SK Kudung ditaja oleh Alumni SMAKASAS.