Oleh: Aida Najwa Zahidan & Ahmad Shazwi Ahmad Shukri

Tanjong Malim – Sebulan umat Islam melaksanakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan yang mulia, kini Syawal hampir tiba bagi umat Islam untuk meraikannya dengan penuh gembira. Dalam kesibukan mengerjakan ibadah, rata-rata sudah mula menyiapkan persiapan raya bagi menyambut ketibaan 1 Syawal.

Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menyambutnya. Ada yang menyambut dengan mengadakan rumah terbuka, mengadakan majlis kenduri dan ada yang mengambil peluang ini untuk bercuti bersama keluarga tercinta. Pusat Kaunseling mengambil peluang ini untuk berkongsi tips yang dapat digunakan oleh semua warga UPSI, untuk kekal cantik dan segak bersempena sambutan raya yang bakal menjelma.

Seperti siri-siri sebelumnya, program Mental Health Advocates Siri Ramadan kali ini dilaksanakan secara atas talian dan juga bersemuka. Sesi perkongsian pada kali ini telah menampilkan Pensyarah Fakulti Teknikal dan Vokasional, Prof.Madya Dr. Arasinah Kamis selaku panel jemputan untuk bersama-sama berkongsi tips yang dapat digunakan untuk menyambut raya. Program sebegini bertujuan memberikan pengetahuan serta perkongsian kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI tentang persediaan dan penjagaan diri sebelum meraikan lebaran. Semasa perkongsian yang diberikan oleh Dr. Arasinah, beliau telah memberikan pelbagai tips yang berguna untuk dicuba oleh semua peserta yang menyertai program ini. Bermula dari langkah pertama, Dr. Arasinah menyatakan kepentingan untuk memakai based seperti pencuci muka, penyegar, pelembab, dan sunscreen. Hal ini bagi memastikan kulit sentiasa sihat dan tidak menimbulkan jerawat yang tidak diingini.

Jurusolek sedang menunjukkan cara mekap mata dibantu oleh model jemputan
Penceramah menerangkan perkhidmatan terapi yang disediakan oleh Therapeutic Spa UPSI

Melalui perkongsian yang diberikan oleh Dr. Arasinah, banyak input serta maklumat yang berguna yang boleh diaplikasikan oleh para peserta untuk memastikan penjagaan diri sentiasa berada dalam keadaaan yang terbaik. Selaku mahasiswa dan mahasiswi yang rata-rata bakal menjadi guru, penampilan diri seharusnya kemas dan bersih supaya diri menjadi lebih presentable dan mudah menarik minat murid untuk turut serta dalam sesi pengajaran yang dilaksanakan oleh kita. Selari dengan penganjuran program pada kali ini, ia dapat memberikan kesedaran kepada peserta tentang terapi berbentuk therapeutic untuk membentuk keyakinan diri. Hal ini bukan sahaja dapat membantu peserta untuk kelihatan bergaya semasa menyambut lebaran, malah dapat memberikan keyakinan diri untuk sentiasa kelihatan cantik dan kemas.

Walaupun program ini disertai oleh peserta secara atas talian, namun penglibatan mereka sangat aktif. Kesempatan ini dimanfaatkan secara baik oleh para peserta dengan mengajukan pelbagai bentuk soalan dan tips yang boleh digunakan oleh mereka. Program ini telah berjaya membantu para peserta untuk lebih bersedia berkenaan persediaan diri ketika menjelang hari raya serta membantu untuk menjadi lebih berkeyakinan diri dan tampak lebih bergaya sebagai salah satu terapi bagi emosi dan minda. Tips dan teknik mekap serta penggayaan baju yang telah diberikan juga sangat mudah untuk diaplikasikan dan diamalkan oleh para peserta sesuai dengan gaya hidup sebagai seorang mahasiwa dan mahasiswi. Keyakinan diri yang dibentuk melalui persediaan diri yang rapi ini juga dapat memberikan satu sudut pandang positif kepada sekeliling dan dapat memupuk sifat menyayangi diri sendiri yang merupakan aspek penting dalam menjamin kesejahteraan mental seseorang.

Diharapkan agar program seperti ini berpeluang untuk dilaksanakan lagi dimasa akan dating bagi mendedahkan lagi kepada mahasiswa tentang keadah untuk menjaga kesihatan mental melalui pelbagai cara.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)