Oleh: Muhammad Hafizul Aiman dan Muhammad Asyraaf Izzuan
Tanjong Malim – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/2024 di bawah Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak dengan menganjurkan Program Mahabbah Ramadan 2024M/1445H yang bertemakan “Al-Quran Pemangkin Malaysia Madani”. Program ini telah dilaksanakan di Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki dan di Kampung Kuala Pari Hilir, Ipoh, Perak.
Pelbagai aktiviti pengimarahan yang telah dilaksanakan sempena Mahabbah Ramadan seperti Berbuka Puasa Harian Kolej Aminuddin Baki, Solat Tarawikh berjemaah di Surau Al-Falah, Majlis Berbuka Puasa Perdana Kolej Aminuddin Baki dan Ziarah Mahabbah ke PusatJagaan Anak Yatim Baitul Aini di Ipoh, Perak. Selain itu, Pertandingan Daie Millenia dan Pertandingan Poster Estetik Ramadhan juga telah dilaksanakan secara atas talian.
Jamuan berbuka Puasa Harian telah dilaksanakan bermula 24 Mac sehingga 29 Mac 2024 dengan melibatkan seramai 150 penghuni kolej Aminuddin Baki bertempat di Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki. Program ini juga merupakan tajaan daripada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat dan Sedekah (WEZAS). Tujuan utama jamuan berbuka puasa harian ini diadakan adalah bagi menjaga kebajikan penghuni di samping mengimarahkan Surau Al-Falah . Program ini juga menyokong SDG ke-2 iaitu sifar kelaparan dalam kalangan warga kolej tanpa mengira agama dan bangsa.
Selain itu, Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat dan Sedekah (WEZAS) turut memberikan tajaan untuk elaun Imam/ Bilal yang bertugas Solat Tarawikh bermula 18 Mac 2024 sehingga 31 Mac 2024 di Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki UPSI. Penglibatan mahasiswa dalam kalangan Pelajar Tahfiz, Pengajian Islam dan Bahasa Arab sebagai Imam/Bilal menjadikan medium ini latihan kepada mereka sebelum menyumbang bakti dalam Masyarakat.
Di samping itu, pada 26 Mac 2024 berkesempatan mengadakan Majlis Berbuka Puasa Perdana Kolej Aminuddin Baki juga bertempat di Surau Al-Falah, Kolej Aminuddin Baki. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Zulkifli Mamat, Shakila Mohd Idris selaku Penolong Pendaftar Kanan Kolej Aminuddin Baki dan barisan pentadbiran kolej yang lain. Barisan felo juga turut hadir memeriahkan program ini iaitu Muhammad Safwan Ismail selaku Ketua Felo Kolej Aminuddin Baki dan felo- felo yang lain.
Dalam ucapan perasmian, Zulkifli Mamat selaku Pengetua Kolej Aminuddin Baki berkata “Marilah sama-sama kita istiqamah mengerjakan amal ibadah dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah SWT di samping untuk menjadikan puasa kita lebih berkualiti dan buka sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata”. Di samping itu, Majlis Berbuka Puasa Perdana Kolej Aminuddin Baki juga telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada warga kolej untuk memeriahkan suasana Majlis Berbuka Puasa Perdana Kolej Aminuddin Baki.
Program kemuncak bagi Mahabbah Ramadan Kolej Aminuddin Baki adalah Program Ziarah Mahabbah ke Pusat Jagaan Anak Yatim Baitul Aini di Ipoh, Perak yang telah berlangsung pada 29 Mac. Ziarah Mahabbah ini turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Rumah Anak Yatim Baitul Aini, Datin Hajah Noraini Abdullah, Pengetua Rumah Anak Yatim Baitul Aini, Ustaz Nik Muhammad Farid, Pegawai Tadbir Kolej Aminuddin Baki, Shakila Mohd Idris dan Ketua Felo Kolej Aminuddin Baki, Muhammad Safwan Ismail merangkap penasihat program. Pihak Kolej Aminuddin Baki juga turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada pihak Rumah Anak Yatim Baitul Aini sebagai tanda tulus Ikhlas untuk membantu anak-anak yatim yang memerlukan. Program Ziarah Mahabbah ini juga menyokong SDG ke-3 iaitu untuk memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur.
Dalam ucapannya, Ustaz Nik Muhammad Farid berkata ”Sesungguhnya kehidupan seorang anak yatim sangat mencabar dan tidak sama seperti anak yang mempunyai kedua ibubapa. Oleh itu, pelaksanaan program ini diharap mampu memberikan impak positif kepada diri anak yatim di sini untuk terus
berjuang mencapai kecemerlangan pada masa akan datang dan berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana untuk sentiasa menyantuni anak-anak yatim ini”.
Diharapkan menerusi program Mahabbah Ramadhan Kolej Aminuddin Baki 2024 ini dapat memenuhi objektif yang ingin dicapai di samping dapat memberikan impak positif serta memastikan Kebajikan terjaga sama ada dalam kalangan warga UPSI, warga Kolej Aminuddin Baki, komuniti setempat di sekitar Tanjong Malim dan negeri Perak Darul Ridzuan.