Oleh: Ainin Sofiya, Irfan Danish dan Sarah Husna.
Slim River: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Agrikultur Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) sidang 2023/2024 dengan kerjasama Persatuan Sains Pertanian (PERSAP) UPSI telah mengadakan program gotong – royong bersama komuniti orang asli melalui penanaman pokok sebagai inisiatif konservasi alam yang bertempat di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Teras, Slim River.
Program Gotong-royong Bersama Komuniti Orang Asli merupakan program sampingan di bawah program Agriculture Naturefest yang berlangsung selama dua hari, 20 hingga 21 April yang melibatkan 30 peserta terdiri daripada barisan pimpinan dan rakan anggota MMKAB dan wakil dari PERSAP UPSI.
Program Gotong- royong bersama Komuniti Orang Asli ini bermula dengan ucapan daripada Tok Batin Kuloh Bah Rinteh dan diikuti dengan sesi taklimat daripada pengarah program, saudari Nur Alya Salsabila.
Kemudian, disusuli dengan aktiviti penanaman pokok di sekitar kampung hasil sumbangan daripada PERSAP seperti pokok nona, durian dan pokok bunga matahari serta beberapa aktiviti berkumpulan bersama anak – anak di komuniti tersebut seperti sepakan penalti, bowling botol dan musical chair.
Program ini disambut baik oleh pengetua, barisan pentadbiran dan felo sebagai inisiatif konservasi alam sekitar melalui memelihara, memulihara dan menggalakkan penggunaan mampan ekosistem dan mengekang kemusnahan ekosistem.
Objektif utama program ini bertujuan untuk memberi dorongan kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI untuk menimba pengalaman baru tentang pertanian bersama komuniti orang asli sekali gus menjadi pemangkin dalam memastikan cinta akan alam sekitar agar terus subur dalam diri mereka bersama komuniti orang asli.
Program ni juga bertujuan memantapkan lagi silaturahim dan semangat kerjasama di antara MMKAB sidang 2023/2024 bersama rakan exco serta barisan kepimpinan PERSAP, sekali gus mampu menjadi langkah pertama untuk mengeratkan ukhwah antara komuniti orang asli Kampung Sungai Teras di samping menyemai perasaan cinta akan alam sekitar serta memberi pengalaman yang baharu bersama komuniti luar.
Diharapkan agar program sebegini dapat dipergiatkan lagi pada masa akan datang agar kelestrian alam sekitar terus terjaga