Oleh: ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri
Bangi: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Pembangunan Akademik (PPA) meneruskan kerjasama dengan Darul Quran dan Lokasi Tambahan Darul Quran (DQ dan LTDQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi tahun 2024.
Kerjasama erat yang bermula pada tahun 2015 menerusi Kursus Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi pensyarah DQ dan LTDQ ini merupakan siri-7 dalam siri kursus PdP UPSI-DQ. Kursus diadakan pada 6 hingga 17 Mei secara bersemuka selama 12 hari di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi.
Sehingga 2023, seramai 153 pensyarah DQ dan LTDQ telah mengikuti kursus ini. Pada tahun 2022, kursus dilaksanakan secara atas talian pada 11 hingga 28 April melibatkan 44 orang peserta. Manakala, pada 13 Julai 2023, satu Majlis Penganugerahan Sijil Kursus Pembelajaran dan Pengajaran Pensyarah DQ dan LTDQ 2023 telah diadakan secara gilang gemilang di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Kursus ini dianjurkan dengan objektif utamanya adalah untuk memantapkan kemahiran PdP peserta penambahan pengetahuan terkini berkaitan PdP dalam kalangan pensyarah DQ dan LTDQ. Ini merupakan satu usaha dalam memantapkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran serta kepimpinan akademik pensyarah dalam memperkasa PdP. Kursus yang merupakan medan perkongsian ilmu dan kepakaran antara pensyarah UPSI dan DQ dan LTDQ juga dapat menyediakan pensyarah dengan kaedah dan teknologi baharu seiring dengan kemajuan teknologi pendidikan semasa.
Menurut Timbalan Pengarah Cawangan Kualiti Darul Quran, Ustaz Dr Muhammad Yusry Mazlan, “Darul Quran merupakan satu-satunya Bahagian di JAKIM yang menjalankan fungsi dalam bidang pendidikan tinggi tahfiz Al-Quran dan Qiraat. Oleh itu, para pensyarah harus diberi pendedahan tentang peranan sebenar pensyarah, dalam mendepani bidang pendidikan tinggi masa kini, serta melengkapkan diri dengan ilmu pedagogi yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar masa kini, agar proses PdP dilaksanakan dengan lebih berkesan dan mengikut standard sistem pengajian tinggi. Kita tidak mahu para pensyarah DQ dan LTDQ terkebelakang dari sudut pembelajaran dan pengajaran, seolah-olah dilihat tidak selari dengan status Darul Quran selaku institusi tahfiz di bawah kerajaan yang terkemuka dan tertua dalam negara.”
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh beliau turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Pembangunan Akademik UPSI, Prof Madya Dr Normah Jusoh; Ketua Seksyen Dasar dan Instrumentasi Darul Quran, Ustazah Roslizah Abd Latif; Ketua Seksyen Dasar dan Penyelaras Unit Kecemerlangan Akademia PPA UPSI, ChM Dr Yuhanis Mhd Bakri dan Ketua Unit Kompetensi Darul Quran, Ustaz Azizan bin Othman.
Pelaksanaan kursus ini melibatkan tiga peringkat bermula dengan peringkat pertama iaitu sesi ceramah oleh penceramah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kepakaran masing-masing. Peringkat kedua, peserta dikehendaki untuk melengkapkan tugasan secara individu dan berkumpulan. Peserta perlu menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran dengan mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari melalui kursus ini dalam kursus-kursus yang diajar di institusi masing-masing. Seterusnya pada peringkat yang terakhir, beberapa pensyarah berpengalaman dari UPSI yang dilantik akan melakukan proses pencerapan terhadap sesi pembelajaran dan pengajaran peserta terbabit.
Prof. Madya Dr Normah Jusoh berkata “diharapkan kursus ini dapat membantu pensyarah DQ dan LTDQ untuk mengaplikasi ilmu yang diberi dalam membantu pelajar dapat menguasai isi kandungan yang disampaikan”
Oleh itu, disasarkan segala ilmu dari kursus ini dapat diamalkan dan dibudayakan dan dapat membawa perubahan dalam meningkatkan kualiti akademik di institusi peserta seterusnya menghasilkan transformasi dalam pelaksanaan pendidikan tahfiz Al-Quran dan Qiraat di negara ini.