Tanjong Malim: Suasana penuh keceriaan dan kegirangan terpancar dalam Majlis sambutan Raya Aidilfitri, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) yang telah diadakan secara serentak dengan Mesyuarat Fakulti ke-74. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan ini merupakan acara tahunan akan disambut di peringkat fakulti bagi menjalinkan ukhwah dan silaturahim antara warga FSK.
Kemeriahan majlis ini diserikan dengan penglibatan semua warga FSK, kakitangan akademik dan pentadbiran yang mula menghadiri ke majlis seawal 9.00 pagi di FSK. Pelbagai juadah raya disediakan, antara tarikan utama adalah lemang, rendang dan laksa.
Acara ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Mohd Muaz Abd Hamid bagi menandakan permulaan majlis dengan memperoleh keberkatan dariNya. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Dekan FSK, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, “Sambutan Hari Raya FSK, memberikan semangat kebersamaan dan kerjasama yang jelas pada hari ini menjadikan FSK sebagai batu asas yang utuh dalam memacu perkembangan pendidikan ke arah menjulang budaya berprestasi tinggi”, ujar beliau. Tambah beliau lagi “komitmen yang tinggi harus diberikan oleh semua warga FSK khususnya golongan akademik dalam meningkatkan pencapaian dari segi penyelidikan, penerbitan, perundingan dan pengkomersialan”. Di akhir ucapan beliau, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir & Batin kepada semua warga FSK yang hadir.
Majlis diteruskan dengan ucapan dari Prof Madya Dr. Azmi Mohamed iaitu Pengerusi Lembaga Penasihat FSK. Beliau sangat teruja atas perlantikan di FSK ini kerana beliau sangat meminati bidang sejarah. Beliau melihat bahawa perkembangan dan niche FSK itu sendiri sudah jelas, namun brand itu harus digilap dengan perbincangan yang lebih mendalam supaya visibility itu akan lebih terserlah. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada FSK atas pencapaian yang berturut-turut termasuk Program Pesisir yang baru berlangsung iaitu perbincangan Kerjasama Akademik antara UPSI dan KEMENAG Indonesia.
Setinggi penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa, Ahli Jemputan yang hadir dan semua warga FSK yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Semoga komitmen dan kerjasama berpasukan ini dapat diteruskan untuk kecemerlangan FSK serta menjadi bukti perpaduan seluruh warga FSK.