Tanjong Malim, 20 Mei 2024 – Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Rendah Seri Budiman UPSI  telah diadakan dengan penuh keceriaan dan semangat pada hari ini dengan bertemakan ‘My Dream Job’. Para murid dibenarkan untuk memakai pakaian yang memaparkan aspirasi dan impian mereka terhadap kerjaya idaman mereka, sementara ibu bapa turut terlibat secara aktif dalam membantu anak-anak mereka mewujudkan impian tersebut.

Program Sambutan Hari Guru ini dimulai dengan ucapan dari Guru Besar sekolah, Dr. Kama Shaffeei, yang menyeru kepada semua pihak untuk terus menyokong dan membimbing generasi muda dalam mencapai impian mereka. Usai ucapan tersebut, majlis disertai dengan nyanyian lagu ‘Kami Guru Malaysia’ yang dinyanyikan dengan penuh semangat oleh guru-guru Sekolah Rendah Seri Budiman, sementara ibu bapa turut menyokong dari belakang.

Majlis diteruskan lagi dengan sesi penyampaian kad Hari Guru yang ditandatangani oleh para ibu bapa sebagai tanda penghargaan dan sokongan mereka kepada para pendidik. Kemudian, terdapat sesi potong kek Hari Guru, yang melibatkan ibu bapa dalam menyampaikan kek sebagai ungkapan terima kasih kepada guru-guru atas usaha mereka dalam mendidik anak-anak.

Seterusnya, majlis dilanjutkan dengan sesi murid-murid memperagakan pakaian mereka yang memaparkan impian dan aspirasi mereka terhadap kerjaya masa depan. Para ibu bapa turut berbangga melihat anak-anak mereka berdiri dengan keyakinan dan semangat dalam mempersembahkan impian mereka kepada khalayak.

Majlis diakhiri dengan persembahan nyanyian lagu ‘You Are My Sunshine’ oleh murid-murid, yang menyentuh hati semua yang hadir. Kemudian, dalam suasana penuh kehangatan, sesi penyampaian hadiah kepada para guru berlangsung. Kesemua cikgu hadir dengan rasa syukur dan kegembiraan semasa menerima hadiah dan pengiktirafan dalam sesi pembahagian hadiah.

Kesimpulannya, Sambutan Hari Guru Sekolah Rendah Seri Budiman ini adalah satu pengalaman yang bermakna dan menggembirakan bagi semua yang terlibat. Kami mengakui peranan penting Parent Support Group (PSG) dalam membantu sekolah mewujudkan program-program berkesan dan memberi sokongan kepada guru-guru serta murid-murid. Kami berharap penghargaan dan semangat yang diperlihatkan dalam program ini akan terus memberi dorongan kepada para pendidik untuk terus berkarya dengan penuh dedikasi. Terima kasih kepada semua yang telah menyertai dan menyokong program ini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)