Oleh: Amni Batrisyia dan Nurin Zahreena
20 Mei 2024

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) sidang 2023/2024 telah mengadakan program kesukarelawanan “Love & Care” bertempat di Sekolah Kebangsaan Brinchang yang berlangsung pada 14 Mei 2024 dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Program “Love & Care” melibatkan penyertaan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UPSI, iaitu sebanyak 40 orang peserta termasuk ahli jawatankuasa pelaksana yang disambut baik oleh guru besar SK Brinchang, Puan Faridah.

Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk mewujudkan rasa ingin membantu, kasih sayang dan prihatin terhadap komuniti kepada peserta sekali gus meringankan beban kerja dalam membersihkan dan menceriakan kawasan sekolah disamping memberi ruang dan peluang kepada peserta mendekati komuniti dalam suasana pembelajaran berskala kecil.

Program kesukarelawan ini telah diketuai oleh Exco Kebajikan dan Kesukarelawan MMKAB, Saudari Jackline telah menjalankan beberapa aktiviti kesukarelawan seperti melukis dam ular dan ‘hopscotch’, menghasilkan diorama yang bertemakan haiwan dan menghias tempat perhentian bas.

Berdasarkan perbincangan dengan guru sekolah, kesemua tempat yang dipilih untuk ditambah baik adalah tempat tumpuan murid untuk berehat dan bersosial sesama mereka.

Program ini telah dihadiri oleh pentadbiran dan barisan felo kolej. Program ini telah disempurnakan oleh Pegawai Tadbir KAB, Puan Shakila Mohd Idris. Beliau menyatakan bahawa program ini sememangnya memberikan satu impak yang amat positif terhadap peserta kerana mampu meningkatkan sikap rajin membantu dan prihatin dalam kalangan peserta.

Guru Besar SK Brinchang, Puan Faridah juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih sekolahnya untuk menjalankan aktiviti kesukarelawan.

Diharapkan dari program ini menjadi mercu tanda kebaikan dan kepedulian mahasiswa terhadap komuniti. Semoga program ini tidak hanya melonjakkan semangat kesukarelawan dalam kalangan peserta tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat dan dapat memperkukuhkan jalinan sosial dan keperibadian yang holistik.