Oleh: Mohammad Nazrullah Alias
20 Mei 2024

Tanjung Malim: Suasana di Sekolah Rendah Seri Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dimeriahkan dengan kehadiran maskot popular, Didi & Friends, sempena majlis peluncuran kelas intensif membaca Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak UPSI dan SBU FPM Xcell, dengan kerjasama Warnakids, EDGE UPSI, Sekolah Rendah Seri Budiman UPSI, dan UPSI Holding.

Majlis peluncuran ini menyaksikan penyertaan seramai 52 orang guru tadika dari seluruh Malaysia yang teruja untuk memulakan kelas membaca intensif Bahasa Melayu. Program ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga menggalakkan keusahawanan dalam bidang pendidikan atau lebih dikenali sebagai ‘edupreneurship’.

Dalam pengenalan kursus ini, fokus utama diberikan kepada pentingnya kemahiran membaca dalam pembelajaran dan perniagaan. Kursus intensif ini direka untuk membina asas kukuh dalam kemahiran membaca, di samping memberi inspirasi kepada peserta untuk menerapkan pengetahuan ini dalam perniagaan pendidikan mereka. Peserta didorong untuk mengintegrasikan kemahiran membaca yang diperoleh ke dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam pendidikan awal kanak-kanak, di mana kemahiran ini memainkan peranan penting dalam pencapaian matlamat.

Majlis ini turut melantik sepuluh orang pelajar pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai cikgu membaca. Langkah ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam bidang sebenar dan turut membantu dalam pembangunan modal insan negara.

Ucapan Perasmian daripada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPSI Prof. Dr. Suriyati Abu Bakar

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, menekankan betapa pentingnya program seperti ini dalam usaha memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Majlis ini turut menyaksikan perjanjian Letter of Intent (LOI) antara pihak industri, Warnakids yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Warnakala Studios, Puan Liliyati Muhamad Yusof dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) UPSI yang diwakili oleh Dekan FPM, Profesor. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim. Perjanjian ini disaksikan oleh Profesor Dr. Suriyani Abu Bakar.

Dengan pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam pendidikan, diharapkan kemahiran membaca Bahasa Melayu akan terus dipertingkatkan dalam kalangan kanak-kanak, membuka peluang ke arah masa depan yang lebih cerah dan cemerlang bagi generasi akan datang. Dalam kepelbagaian inisiatif dan kerjasama yang dijalankan, kita meletakkan landasan yang kukuh bagi pembangunan pendidikan yang holistik dan berkesan di negara ini.

Majlis Menandatangani Perjanjian LOI yang ditandatangan oleh Prof. Madya Dr Abdul Talib Abdul Rahim (Dekan Fakulti Pembangunan Manusia) dan Puan Liliyati Mohamad Yusof (Chief Operation Officer WarnaKids) dan disaksikan oleh Prof Dr. Suriani Abu Bakar (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi) bersama Puan Nora Liza Abdul Kadir (Penyelaras Kebolehpasaran Graduan EDGE), Dr Kama bin Shafeei (Guru Besar Sekolah Rendah Sri Budiman) dan Encik Mohamad Izzudin Zakaria (Pegawai Khas UPSI Holding Sdn. Bhd).
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)