Oleh: Fajrul Solehien
20 Mei 2024

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) dengan kerjasama Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International), Young Counselling Scholars (YCS), dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Fakulti Pembangunan Manusia serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan Program Young Counseling Scholars National Symposium di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) UPSI.

Program National Conference bagi Young Counselling Scholars ini diadakan untuk memberi inspirasi dan meningkatkan motivasi kepada ahli-ahli YCS melalui perkongsian ilmu, mempersiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan, pengalaman, dan kemahiran demi membentuk keperibadian kaunselor yang unggul disamping memperkukuh hubungan baik antara KASIH dan YCS.

Program ini bertujuan memupuk peribadi unggul dalam kalangan ahli YCS supaya menghargai ilmu dan idea yang dikongsikan oleh Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) dan PERKAMA International serta meningkatkan motivasi dan memberi inspirasi kepada ahli-ahli YCS melalui perkongsian ilmu dalam menangani isu semasa demi menjadi kaunselor berdedikasi dan berwawasan tinggi.

Dalam pada itu, program ini memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang komitmen tinggi sebagai kaunselor dalam membentuk nilai moral dan sahsiah terunggul dalam kalangan pelajar, masyarakat, dan negara disamping meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, dan kemahiran membuat keputusan dalam menganjurkan program yang melibatkan pihak luar.

Profesor Dr. Abdul Halim Masnan dalam ucapan aluannya menyatakan, “Kaunselor umpama doktor perubatan, yang bukan merawat pesakit dari segi fizikal, tetapi membantu klien dari aspek psikologi.

Klien merupakan insan yang terjerat dan tidak dapat bergerak secara baik kerana pelbagai isu dan hal ini merupakan tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh kaunselor bagi memastikan kelestarian komuniti dan keberlansungan negara kita.”

Pengarah Program Young Counseling Scholars National Symposium, Sharifah Faza Nazahah Syed Jaaffar, berkata, “Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan motivasi dan memberi inspirasi kepada pelajar bimbingan dan kaunseling melalui perkongsian ilmu.

Program ini juga membina jaringan atau networking antara pelajar bimbingan dan kaunseling dengan PERKAMA International dan saya berharap melalui program ini semua pelajar dapat meningkatkan kesedaran mengenai komitmen sebagai kaunselor dalam membentuk nilai moral dan sahsiah terunggul dalam kalangan pelajar, masyarakat, dan negara.”

Disamping itu, bacaan doa selamat turut dilaksanakan bagi meraikan pensyarah-pensyarah Bimbingan dan Kaunseling Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI yang bakal melaksanakan ibadah haji tidak lama lagi.

Turut hadir Pengarah Pusat Kajian Kesejahteraan UCSI, Profesor Dr. Mansor Abu Talib, Penasihat KASIH Profesor Madya Dr. Aslina Ahmad turut memeriahkan program.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)