Oleh: Fajrul Solehien
20 Mei 2024
Selangor: Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 23/24 dengan kerjasama Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Unit Pengurusan Psikologi dan Kaunseling Penjara Sungai Buloh telah mengadakan Program Komuniti Koreksional Kepenjaraan bertempat di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Program ini dijalankan untuk memberi sumbangan buku dan bahan ilmiah kepada pihak Penjara Sungai Buloh dengan tujuan memenuhi keperluan perpustakaan penjara dan mengisi masa lapang para banduan dengan bahan bacaan yang bermanfaat.
Selain itu, program ini bertujuan memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang pentingnya komitmen dan inspirasi negara dalam membangunkan modal insan yang berkualiti serta bebas daripada masalah sosial disamping memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendalami corak kehidupan sebenar penghuni penjara.
“Saya berbesar hati menerima kedatangan anak-anak dari UPSI, lebih-lebih lagi anak-anak yang datang hari ini terdiri daripada bakal-bakal kaunselor. Program sebegini perlulah diteruskan pada masa akan datang kerana masyarakat memerlukan khidmat seorang kaunselor dalam mencorakkan keperibadian insan,” kata Pengarah Penjara Sungai Buloh, TKP Nik Robidin Ab Rahman.
Beliau menambah, “Anak-anak akan dihantar posting ke sekolah-sekolah dimana peranan seorang kaunselor sangat penting untuk membentuk anak murid supaya tidak menjadi seorang yang bermasalah.
Kita tidak mahu anak murid hari ini masuk ke dalam penjara kerana kesalahan mereka, akan tetapi kita mahukan mereka ini datang sebagai seorang yang memberi inspirasi kepada masyarakat di luar sana.”
Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) UPSI, Profesor Madya Dr. Aslina binti Ahmad dalam ucapan aluannya menyatakan, “Program sebegini mampu memberi pengalaman langsung kepada mahasiswa berkenaan sistem penjara dan isu-isu berkaitan undang-undang serta keadilan. Perkara ini dapat meningkatkan pemahaman mahasiswa UPSI khususnya dalam kalangan kaunselor pelatih UPSI terhadap realiti kehidupan dalam sistem penjara.”
Dalam slot perkongsian ilmu, Pegawai Psikologi Penjara Sungai Buloh, Dr. Asraf Johar Salleh berkata, “Menjadi kaunselor di penjara bukan satu perkara yang mudah dan ringan kerana tanggungjawab yang dipikul sangat berat, namun ianya memberi pengalaman dan keseronokan kerana kita berhadapan dengan prospek (nama lain bagi banduan) yang berbeza latar belakang, jarak usia yang jauh dan mereka yang masuk ke sini sudah semestinya mempunyai masalah yang berat dan kritikal.
Jika diberi peluang, mohonlah pekerjaan di sini dan hadirlah sebagai staf penjara dan bukan sebagai penjenayah serta amati tanggungjawab besar kita untuk membantu mereka (prospek) mencapai kehidupan yang bermakna.”
Lawatan di sekitar kawasan Penjara Sungai Buloh telah diadakan, di mana seramai 20 orang ahli jawatankuasa program bersama penasihat persatuan dipecahkan dalam beberapa kumpulan yang setiap satu kumpulan terdiri dari 5 orang.
Setiap kumpulan diketuai oleh seorang mentor yang terdiri dari pegawai penjara dan diiringi oleh beberapa orang pegawai keselamatan penjara.
Selain itu, terdapat juga slot bagi Program Transfer of Knowledge yang disampaikan oleh Dr. Asraf Johar bin Salleh, Pegawai Psikologi dari Unit KYKO Penjara Sungai Buloh.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Penjara Sungai Buloh, TKP Nik Robidin bin Ab Rahman, Pegawai Psikologi Penjara Sungai Buloh, Dr. Asraf Johar bin Salleh, barisan pegawai dari Unit KYKO Penjara Sungai Buloh, dan Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) UPSI, Profesor Madya Dr. Aslina binti Ahmad.