Oleh: Nur Faiha Husna Roslan dan Laili Syauqina Shaiful Khamri
22 Mei 2024

Aceh Besar: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menganjurkan sebuah program penyediaan sangkar penternakan tiram yang berlangsung di Gampong Kajhu, Kacamatan Baitussalam, Kabupaten Aceh Besar.

Program ini merupakan antara agenda yang utama sepanjang penganjuran Empire Journey 4.0 kali ini, di mana penternakan sangkar tiram merupakan suatu pemindahan pengetahuan memandangkan penduduk tempatan desa telah lama mengusahakan penangkapan tiram secara tradisional sebagai sumber pendapatan utama keluarga mahupun sampingan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengetua UKLK, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob. Sewaktu berucap dalam majlis tersebut, beliau menyatakan harapan agar ilmu yang bakal dikongsikan oleh mahasiswa UPSI ini dapat membantu masyarakat setempat dalam menambah baik kaedah penternakan tiram sekaligus meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat setempat.

Mahasiswa UPSI telah mendemonstrasikan kaedah penyediaan sangkar tiram dengan cara menjahit sangkar tiram menggunakan kaedah simpulan manuk. Kekuda kayu digunakan sebagai tempat untuk menggantung sangkar tiram ini.

Di sebalik penganjuran program ini juga sebenarnya adalah bertujuan bagi memberikan pendedahan serta berkongsi idea kepada masyarakat di kampung tersebut berkenaan penternakan tiram yang dilihat eksklusif dan memberikan pulangan yang menguntungkan jika diusahakan dengan lebih baik.

Pemindahan pengetahuan ini bukan semata-mata telah mewujudkan hubungan baik dengan penduduk Kampung Kajhu, Aceh, namun juga telah mempromosikan inovasi yang telah diperoleh mahasiswa daripada kursus penternakan tiram di Sungai Muar, Johor oleh pakar yang telah lama berkecimpung dalam penternakan tiram ini, iaitu Kapten (B) Hj Jelani Hj Laham.

Manfaat program ini dinilai dapat menjadi nilai tambah dalam bagaimana UKLK dan UCTC mewujudkan hubungan sosial secara antarabangsa dan pemerkasaan mahasiswa dalam bertindak menjadi pengantaraan ilmu seperti yang digalakkan dalam teras ke-3, kerangka Pelan Strategik UPSI 2021-2025 iaitu ke arah keunggulan graduan melalui KPI3 – keunggulan khidmat masyarakat dan komuniti.

Di samping perkongsian kaedah penyediaan sangkar tiram, pihak UCTC UPSI juga membawa sejumlah 20 pek sumbangan bahan makanan kering yang diserahkan kepada penduduk setempat sebagai tanda penghargaan penerimaan kunjungan dan menzahirkan keprihatinan dari pihak UPSI, di mana sedikit-sebanyak bantuan yang diserahkan dapat mengurangkan beban penduduk kampung dalam usaha mendapatkan sumber makanan seharian. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)