Tanjong Malim: Pusat Sukan UPSI melalui Pusat Sukan Tumpuan (PST) Hoki Dewan dengan kerjasama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah menganjurkan Kursus Kepengadilan Hoki Dewan PST Tahap 1 pada 17 Mei 2024 sehingga 19 Mei 2024 melibatkan seramai 22 orang peserta daripada pelbagai universiti di seluruh Malaysia. Kursus ini dikendalikan oleh dua orang pengadil dari Malaysia Hockey Confederation Umpire Committee (MHCUC) yang tidak asing lagi dalam kalangan rata-rata penggiat sukan hoki iaitu Encik Lingam Karupusamy dan Encik Jaswant Singh Rattan Singh.

Kursus Kepengadilan Hoki Dewan PST Tahap 1 ini telah dirancang dan disusun pengisiannya dengan teratur oleh pihak MHC dan UPSI. Dimulakan dengan sesi pengenalan oleh Encik Lingam yang memberikan gambaran awal kepada peserta agar lebih bersedia secara mental dan fizikal untuk slot-slot seterusnya.

Selepas sesi pengenalan, slot pertama bertajuk ‘Ciri-ciri dan Kriteria Untuk Menjadi Pengadil Kebangsaan dan Antarabangsa’ dimulakan. Encik Lingam dan Encik Jaswant menjelaskan ciri-ciri yang perlu ada pada setiap peserta, termasuk nilai-nilai murni dan keyakinan tinggi. Keyakinan penting agar pemain tidak ragu-ragu dan dapat meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap pengadil ketika mengadili perlawanan.

Selesai slot pertama, kursus diteruskan dengan slot ‘Struktur Laluan Pengadil di Kejohanan Kebangsaan dan Antarabangsa’ oleh Encik Lingam. Peserta berkomunikasi dua hala dengan instruktor dan berpeluang bertanya soalan berkaitan kandungan kursus dan silabus yang agak padat. Rata-rata peserta dapat menjawab soalan dengan baik dan jelas dengan sesi soal jawab sejurus tamat sesi tersebut.

Kursus ini diteruskan dengan tajuk ‘Undang-Undang Hoki Dewan’ oleh Encik Jaswant, yang membincangkan peraturan khusus hoki dewan. Peserta perlu memahami undang-undang ini untuk memberikan hukuman yang tepat mengikut kesalahan yang dilakukan.

Selain teori, sesi praktikal juga dijalankan pada sebelah malam. Peserta diberi peluang untuk mempraktikkan tugas sebagai pengadil sementara peserta lain menjadi pemain dalam situasi sebenar perlawanan. Kedua-dua instruktor memantau dan memperbaiki setiap kesalahan. Tamat sesi praktikal, Encik Lingam dan Encik Jaswant membuat rumusan dan memberikan input untuk diperbaiki pada masa akan datang.

Hari terakhir, Ahad 19 Mei diadakan ‘Slot Perbincangan dan Sesi Soal Jawab’ yang dikendalikan oleh Encik Lingam. Slot ini bertujuan menganalisis kefahaman peserta sepanjang kursus untuk memastikan mereka memahami dan dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh. Untuk menjadi pengadil yang adil dan disegani, peserta perlu memiliki ilmu, disiplin, keyakinan tinggi, dan ketangkasan fizikal.

Di akhir sesi, majlis penutup disempurnakan oleh Pegawai Belia Sukan Kanan UPSI, Encik Mohd Faiz Zabri sebagai wakil kepada Pengarah Pusat Sukan UPSI. Dalam ucapannya, beliau berharap agar lebih banyak kursus seperti ini diadakan dan berharap peserta mendapat input yang bermanfaat. Kursus seumpama ini juga dapat menyediakan platform pilihan kepada penggiat-penggiat sukan hoki sebagai satu laluan kerjaya selain kerjaya selaku pemain dan jurulatih.

Diharap kursus ini memberikan ilmu pengetahuan dan membantu peserta ke peringkat seterusnya serta memudahkan mereka dalam fasa seterusnya bagi melayakkan mereka untuk dianugerahkan tahap 1 kepengadilan hoki dewan.

Tahniah dan Selamat Maju Jaya! “Impossible is Nothing”

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)