Oleh: Wan Aiman Farhan
23 Mei 2024

Batu Kurau: Program Ekplorasi Baktisiswa Anak Bangsa (EKTISA) 6.0: ‘Bakti Madani, Pemantapan Kepimpinan’ telah melabuhkan tirainya pada 12 Mei yang lalu. Program ini merupakan satu jalinan kerjasama antara Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan tujuh belas buah sekolah rendah yang terdiri daripada lima zon dalam Daerah Larut, Matang, dan Selama, Perak. Program ini juga mendapat sokongan padu daripada Pejabat Pendidikan Daerah Larut, Matang, dan Selama yang diwakili oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Murid), En. Mohd Shafik Mohd Amin.

Program kali ini berjaya melakar sejarah buat sekolah-sekolah yang terlibat dan pihak FPE atas jalinan kerjasama yang julung kali diadakan, seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar sekolah mengadakan jalinan atau jaringan dengan institusi awam atau swasta seluruh Malaysia. Perkara ini bertepatan dengan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) untuk meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti serta melahirkan modal insan unggul pada masa akan datang.

Program EKTISA yang berlangsung selama empat hari bermula 9 Mei sehingga 12 Mei di SK Sungai Ara, Batu Kurau, Perak. Ia melibatkan peserta seramai 104 orang murid tahun empat hingga tahun enam dari tujuh belas buah sekolah dan seramai 28 orang fasilitator yang terdiri daripada 24 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada Persatuan Pengurusan dan Ekonomi, FPE (PPEFPE) beserta empat orang daripada Fakulti Sains dan Matematik (FSM), UPSI anjuran Exco Tugas-tugas Khas, PPEFPE yang diketuai oleh Cik Rabiatul Adawiyah Hawa Rosman, di bawah bimbingan Mentor EKTISA, Mejar (B) Dr. Kamarul Bahari Yaakub serta Penasihat Program EKTISA, Pn. Emilda Hashim dan Dr. Norsamsinar Samsudin. EKTISA juga dianjurkan bersama dengan SK Sungai Ara, PPD Larut, Matang, dan Selama, Komuniti Kampung Sungai Ara termasuk Penghulu Mukim Batu Kurau, Ketua Kampung, pihak Masjid, Pusat Sumber Desa dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UPSI serta FSM, UPSI.

Para peserta telah didedahkan dengan sembilan slot menarik yang merangkumi pelbagai aspek seperti kepimpinan, kesukarelawanan, motivasi dan pendidikan yang berfokus kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja penuh dengan permainan yang sarat dengan elemen kepimpinan dan motivasi yang berguna, bahkan mereka juga turut melakukan eksperimen sebagai pendedahan kepada STEM, sejajar dengan dasar pendidikan negara dan pilihan kurikulum sekolah untuk meningkatkan minat dan daya saing dalam bidang sains serta teknologi kepada pelajar.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para peserta, malah mahasiswa dan mahasiswi UPSI juga dapat menimba pengalaman mengendalikan murid-murid sekolah rendah di samping berpeluang mendapat 15 keluarga angkat dan merasai sendiri keramahan komuniti dan suasana kehidupan sepanjang keberadaan mereka di Kampung Sungai Ara. Aktiviti ini sangat mendekatkan mahasiswa dan mahasiswi dengan masyarakat serta mencipta jalinan baharu di tempat baharu. Apa yang lebih menarik, program ini turut dimeriahkan lagi dengan pertunjukan bunga api pada malam terakhir dan diakhiri dengan majlis kenduri sumbangan orang perseorangan dan penduduk Kampung Sungai Ara.

Merujuk ucapan En. Mohd Shafik Bin Mohd Amin, beliau sangat gembira dan pihaknya iaitu PPD Larut, Matang, dan Selama sangat menyokong program seperti ini kerana memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada sekolah, bahkan melibatkan semua komuniti setempat. Beliau juga memberi idea dan berhasrat untuk membawa peserta-peserta ini pula untuk melawat ke UPSI sebagai pembakar semangat anak-anak murid terus belajar sehingga ke menara gading.

“Secara peribadi, saya sangat berminat dengan program ini dan telah berjaya mencapai objektif serta perlu diteruskan lagi pada masa yang akan datang. Mungkin selepas ini, kita juga boleh melibatkan pelajar sekolah menengah pula,” kata Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Larut, Matang, dan Selama itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian dan penutupnya di sini, kelmarin.