Oleh: Mohd Fadhli Rosli
21 Mei 2024
Banda Aceh: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan bangganya melancarkan program pengantarabangsaan bertajuk Empire Journey 4.0. Program ini bertujuan membina jalinan kerjasama antarabangsa, meningkatkan kemahiran sosial dan insaniah mahasiswa, serta mempromosikan UPSI di persada global. Program ini berlangsung dari 15 hingga 19 Mei 2024, program ini diadakan di Universitas Syiah Kuala (USK) dan Gampong Kajhu Kacamatan Baitussalam Kabupaten Aceh Besar.
Program ini dianjurkan oleh Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC). Antara peserta program ini termasuk Pengetua UKLK merangkap Ketua Delegasi Program, Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob; Timbalan Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong; Felo penasihat program, Puan Nor Hayati Aziz serta barisan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) UPSI.
Antara program pengisian yang dilaksanakan di bawah Empire Journey 4.0 adalah Program Bicara Mahasiswa. Sesi perbincangan dua hala mengenai pengurusan dan pentadbiran dalam kepimpinan organisasi mahasiswa yang dijalankan oleh Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) di Universitas Syiah Kuala. Sesi ini memberikan peluang kepada mahasiswa kedua-dua universiti untuk bertukar pandangan dan pengalaman, sekaligus memperkukuh jaringan kerjasama di antara mereka.
Selain itu, peserta program Empire Journey 4.0 turut diberi peluang berkongsi ilmu tentang penyediaan sangkar penternakan tiram kepada masyarakat tempatan di Gampong Kajhu Kacamatan Baitussalam. Aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat tetapi juga melibatkan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan yang praktikal dan berimpak tinggi.
Empire Journey 4.0 adalah inisiatif penting bagi membentuk pendidik yang menghargai kepentingan ilmu dan pembangunan pendidikan dalam masyarakat. Program ini juga berperanan dalam mempromosikan program pengajian UPSI di luar negara, termasuk program outbound dan internship, yang berasaskan impak terhadap penglibatan global.
Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob sewaktu merasmikan program ini berkata, “Harapan saya adalah agar program ini dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama antarabangsa di antara Malaysia dan Indonesia. Ilmu yang dikongsikan oleh mahasiswa UPSI diharap dapat membantu masyarakat setempat dalam meningkatkan kaedah penternakan tiram, sekaligus memperbaiki pendapatan isi rumah mereka.”
Empire Journey 4.0 adalah langkah strategik dalam usaha UPSI untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dan mempersiapkan mahasiswa dengan kemahiran yang relevan untuk masa depan mereka. Program ini menunjukkan komitmen UPSI dalam memperkasakan pendidikan dan khidmat masyarakat di peringkat global.
Adalah diharapkan program ini mampu melahirkan mahasiswa UPSI dengan jati diri yang unggul, selaras dengan objektif Teras ke-3, kerangka Pelan Strategik UPSI 2021-2025, iaitu ke arah keunggulan graduan melalui KPI3 – keunggulan khidmat masyarakat dan komuniti. Mahasiswa diharap mampu mengaplikasikan kemahiran sosial dan insaniah yang diperoleh untuk manfaat masa depan mereka dalam dunia pekerjaan.