Oleh: Laili Syauqina Shaiful Khamri dan Nur Faiha Husna Roslan
16 Mei 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) menganjurkan program Empire Journey 4.0 ke Banda Aceh, Indonesia di mana program slot “Dialog Mahasiswa”, iaitu sesi perbincangan dua hala berkenaan pengurusan dan pentadbiran dalam kepimpinan organisasi mahasiswa yang telah dipraktikkan oleh Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) Universitas Syiah Kuala (USK). Sesi dialog ini juga telah membuka peluang mahasiswa bertukar input bagi menambah baik pengurusan di organisasi masing-masing.
Sesi dialog pada jam10 pagi tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa USK, Dr. Muzailin Affan, diikuti ucapan penghargaan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Pengetua UKLK merangkap ketua delegasi Empire Journey 4.0.
Melalui ucapannya, Prof Madya Ts. Dr. Che Ghani telah memperkenalkan UPSI dan UKLK kepada USK. Beliau turut meraikan titik persamaan antara UPSI dan USK di mana institusi tersebut bersama UPSI adalah antara universiti yang tersenarai dalam Consortium Asia-Pacific Education Universities (CAPEU), iaitu institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian dalam bidang pendidikan dan perguruan di peringkat ASEAN.
Melalui slot diskusi ini, peserta Empire Journey 4.0 daripada kalangan barisan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) didedahkan berkenaan falsafah kepimpinan pelajar BEM di USK yang berpegang kepada Tridharma Pendidikan Tinggi, yang terdiri daripada tiga kewajipan mereka iaitu Pendidikan dan Pengajaran, Penelitian dan Pengembangan, dan Pengabdian Kepada Masyarakat, yang menjadi garis panduan BEM dan pasukan exco yang bergerak.
UKLK juga menyatakan keinginan mereka untuk menerima kunjungan daripada USK sekiranya institusi tersebut berhasrat untuk mengadakan program kolaborasi di UPSI. Program kerjasama dan kolaborasi antara universiti ini wajar dipergiatkan supaya dapat memberi pendedahan kepada cara pengurusan yang berbeza yang boleh diimplementasikan oleh kedua belah pihak.