Disediakan oleh : Shahril Shazwan Sharuddin
21 Mei 2024

Royal Belum: Orang Asli merujuk kepada suku pribumi yang terdiri daripada penduduk asal kawasan perhutanan semenanjung Malaysia. Orang asli di Malaysia terdiri daripada tiga pecahan utama suku kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang masing-masing dipecahkan kepada 18 pecahan suku kecil. Suku kaum Jahai merupakan orang asli yang mendiami kawasan Royal Belum, Perak.  

Universiti Pendidikan Sultan Idris menerusi Program Permata Bakti 3.0 anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) telah membuka inisiatif yang berfokuskan kepada usaha untuk memperluas akses pendidikan dan mempromosikan percambahan ilmu dalam kalangan komuniti orang asli di Malaysia. Dengan kesedaran tentang keperluan untuk menyokong dan mengembangkan potensi komuniti ini, Program Permata Bakti 3.0 dengan tema Menyelami Jiwa Pedalaman bertujuan untuk memastikan bahawa setiap anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang atau keberadaannya untuk memiliki kesempatan yang sama untuk pertumbuhan dan pembangunan sosial.

Dr. Mohd Saufi Rosmi menyantuni kanak-kanak orang asli Kampung Kelewang

Program ini telah disertai oleh 35 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan pegawai Kolej Ungku Omar(KUO) UPSI. Program ini turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Hal Ehwal Akademik UPSI, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Angkatan Pertahanan Awam Daerah Muallim, Perbadanan Taman Negeri Perak Darul Ridzuan serta SMK Sheikh Abdul Ghani, Bidor.

Pengetua KUO, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam bin Nasrifan menyifatkan Program Permata Bakti 3.0 yang dilaksanakan membawa pelbagai manfaat kepada semua pihak yang terlibat kerana program ini dapat memberi kesedaran tentang keperluan yang mendesak untuk membantu masyarakat yang memerlukan khususnya dalam pembangunan sosial masyarakat orang asli.

“Program Permata Bakti 3.0 membawa perspektif yang  positif dalam memberi ruang kepada perkembangan mahasiswa selaras dengan agenda Transformasi Pengajian Tinggi Negara, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kearah membangunkan bakat mahir yang memenuhi kehendak industri dan graduan kalis masa hadapan (future-proof)”, katanya lagi.

Penyerahan Sumbangan Barang Keperluan Asas kepada wakil komuniti orang asli Kampung Kelewang.

Dalam ucapan lain, Penasihat Program, Chm. Dr. Mohd Saufi Rosmi berkata, program ini wajar untuk diteruskan dan diperluaskan lagi sasarannya kerana selain daripada dapat membantu masyarakat orang asli, ia juga dapat memperluaskan jaringan kerjasama antara universiti dengan komuniti selaras dengan agenda untuk memasyarakatkan universiti.

Program ini turut dihadiri oleh Pegawai APM Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin, barisan pentadbiran dan felo KUO.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)