Oleh: Dr. Zainun Mustafa & Dr. Azi Azeanty Jamaludin
Sesi bergambar bersama 42 orang guru dari negara serantau yang menyertai program
Pulau Pinang, 18 Mei 2024: Centre of Biodiversity and Conservation (CeBeC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah bekerjasama dengan Regional Centre for Education in Science and Mathematics, Southeast Asia Ministers of Education Organization (SEAMEO RECSAM) dengan sokongan dari The Habitat Foundation (THF) untuk melaksanakan program dialog berasaskan fotografi dalam kursus latihan dalam perkhidmatan. Inisiatif ini mengumpulkan 42 guru dari sembilan negara serantau.
Inisiatif ini sejajar dengan seruan Sidang Kemuncak Pendidikan Transformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk penyertaan aktif dalam menangani cabaran alam sekitar melalui pendidikan. Projek ini memperkasakan guru untuk membincangkan hak terhadap alam sekitar secara kreatif dan aktif melalui dua tema penting iaitu, kajian berasaskan bilik darjah dan penilaian berasaskan bilik darjah. Para peserta, yang terdiri daripada guru-guru sains atau matematik dari Malaysia, Thailand, Myanmar, Vietnam, Laos, Indonesia, Filipina, Brunei, dan Timor-Leste terlibat dalam sesi pembangunan profesional peringkat serantau yang dihoskan oleh SEAMEO RECSAM bertempat di Taman Botani, Pulau Pinang.
Matlamat utama program ini adalah untuk memanfaatkan platform fotografi digital bagi mengatasi halangan bahasa antara guru-guru serantau serta merangsang perbincangan kritikal. Para peserta menggunakan gambar sebagai rangsangan visual untuk berkongsi pandangan, membincangkan strategi pedagogi berkaitan denga tema, dan meneroka inspirasi alam sekitar dalam konteks pendidikan sains dan matematik.
Inisiatif ini menekankan peranan penting usahasama antara pihak pengajian tinggi dengan badan antara kerajaan bagi membina platform bagi menyediakan latihan berkualiti dalam perkhidmatan bagi warga pendidik di peringkat serantau. Secara keseluruhannya, program ini menyumbang kepada pembangunan agensi guru dalam membina sesi pengajaran yang menekankan keadilan alam sekitar melalui kajian dan penilaian yang sistematik.