Oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Siti Fatimah

Tanjong Malim, 26 Mei 2024 – Pada 24 Mei 2024 yang lalu, telah diadakan program “Mesyuarat Tadbir Urus Pengoperasian Sekolah Rendah Seri Budiman dan Bengkel Penyelarasan Modul Pembelajaran Tahun 2 dan Tahun 3” yang dianjurkan oleh Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan UPSI (NiCE) yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam. Program ini bukan sahaja melibatkan ketua-ketua kluster, guru-guru Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB), admin SRSB, dan Staf NiCE, tetapi juga merupakan satu platform kolaboratif yang membawa bersama pakar-pakar pendidikan untuk menyelaraskan modul pembelajaran bagi memastikan kualiti pendidikan yang terbaik.

Dalam aturcara program yang dijalankan dengan teliti, setiap sesi diatur dengan baik bagi memberi peluang kepada peserta untuk mendalami ilmu dan kemahiran dalam bidang masing-masing. Sesi taklimat urusetia serta penyelarasan modul dan DSKPN tahun 2 dan tahun 3 yang dijalankan pada 24 Mei 2024, turut disusuli dengan bengkel pemantapan pedagogi bersama pakar pendidikan yang bertauliah, Dr. Mohammad Taufiq bin Abdul Ghani, yang memberi tumpuan kepada Bahasa Arab.

Pada 25 Mei 2024, kesibukan program berlanjutan dengan penuh keberkesanan. Bermula dari bengkel pemantapan pedagogi bersama Dr. Mohd Syaubari bin Othman untuk kelas kafa, hingga ke sesi minum pagi yang memberikan ruang untuk berinteraksi dan berkongsi pendapat, setiap aktiviti dirancang dengan teliti untuk memberi manfaat maksimum kepada semua peserta. Bengkel-bengkel seterusnya yang merangkumi bidang pendidikan muzik bersama Dr. Sajastanah bin Imam Koning dan bengkel bersama Cikgu Mohd Rino bin Mohd Johari, seorang guru cemerlang pendidikan khas, menambahkan lagi dimensi kekayaan ilmu dalam program ini. Guru-guru diberi peluang untuk berkongsi idea ketika sesi bengkel ini bagi memperkukuhkan lagi pengetahuan yang sedia ada.

Terakhir, pada 26 Mei 2024, program mencapai kemuncaknya dengan mesyuarat pemantapan tadbir urus NiCE dan SRSB yang memberi peluang untuk meneliti dan memperbaiki proses pengoperasian sekolah bagi masa depan yang lebih cemerlang. Guru-guru dan staf NiCE berkongsi idea tentang bagaimana untuk memantapkan lagi pengurusan sekolah dari pelbagai aspek seperti pengurusan berkaitan penyakit berjangkit, yuran persekolahan dan sesi PdP di sekolah. Program ini telah berakhir pada pukul 11.00 pagi dengan jayanya.

Semua aktiviti telah dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan teliti dan kerjasama yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat. Program ini bukan sahaja berjaya dalam mencapai matlamatnya untuk meningkatkan kualiti pendidikan, tetapi juga menjadi platform yang menyuburkan kerjasama dan perpaduan dalam komuniti pendidikan tempatan. Semua peserta telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meningkatkan kualiti pendidikan di Sekolah Rendah Seri Budiman. Harapan kami, program ini akan memberi impak yang positif kepada proses pembelajaran di SRSB dan meneruskan usaha dalam meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia. Terima kasih kepada semua peserta dan penyelaras yang telah menjayakan program ini dengan penuh dedikasi dan semangat yang jitu.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)