Oleh: Fajrul Solehien
30 Mei 2024
Tanjung Malim: Program Bicara Ilmu Bahasa dan Sastera bertajuk ‘Mencari, Memilih dan Menikmati Puisi Artistik Bersama Sasterawan Negara Ke-15, Datuk Rahman Shaari’ telah diadakan di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim.
Program ini dimoderatorkan oleh Prof. Madya Dr. Ghazali Din dan bertujuan untuk memindahkan ilmu melalui perkongsian pengetahuan, kepakaran, pengalaman, dan pemikiran kritis Datuk Rahman Shaari kepada warga universiti dan orang awam. Ia juga bertujuan untuk memantapkan pengetahuan bahasa Melayu sedia ada dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Program ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI, Dr. Zuraini Ramli. Dalam ucapannya, beliau menyatakan objektif program kepada hadirin yang hadir dan berharap program ini berupaya memberikan kefahaman yang maksimum untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu tinggi.

Ucapan perasmian pula disampaikan oleh Dekan FBK UPSI, Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad. Beliau menyatakan penghargaan kepada Datuk Rahman Shaari atas kesudian beliau berkongsi ilmu dengan warga UPSI serta kepada jawatankuasa yang menjayakan program ini. Beliau juga berharap usaha ini dapat dimanfaatkan dengan baik oleh warga UPSI bagi memperkukuh bahasa Melayu di samping mempertingkat penghayatan terhadap kesusasteraan Melayu.
Program diteruskan dengan slot “Bicara Ilmu Bersama Tokoh Kesusasteraan Melayu: Datuk Rahman Shaari” yang diperantarakan oleh Prof. Madya Dr. Ghazali Din sebagai moderator. Slot bermula dengan pengenalan tokoh oleh moderator, Datuk Rahman Shaari, seorang penulis, sasterawan, dan ahli akademik yang banyak menulis pelbagai buku dan rencana. Datuk Rahman Shaari sangat menyerlah dalam genre puisi dan esei, dan telah memberikan sumbangan dalam menghasilkan puisi yang menggarap persoalan besar seperti maruah bahasa, kemerdekaan, dan keadilan.
Datuk Rahman Shaari dilahirkan pada 5 September 1949 di Kampung Utan Lembah, Oran, Perlis. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Guar Nangka dan Sekolah Kebangsaan Oran. Pada 1962, beliau memasuki Sekolah Menengah Derma, Kangar sehingga lulus tingkatan tiga. Beliau mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan terpilih mengikuti aliran Sains di Sekolah Alam Shah, Cheras hingga tingkatan lima. Pada tahun 1968, beliau memasuki tingkatan enam dan mengambil aliran Sastera di sekolah yang sama. Seterusnya, beliau telah mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI) pada tahun 1970-an dan merupakan salah seorang anak kandung Suluh Budiman yang lahir daripada bumi bertuah ini.
Dalam sesi perkongsian, Datuk Rahman Shaari berkongsi pengalaman dan penghayatan beliau berkenaan bagaimana memahami dan menilai sesebuah karya dan puisi. Beliau juga membincangkan kriteria menilai sebuah karya seni bahasa seperti pantun klasik ‘buah cempedak di luar pagar’, merungkai maksud di setiap rangkap dan ayat, dan mengapa karya ini sangat popular. Menurut beliau, walaupun pantun ini kelihatan mudah dan ringkas, maksudnya sangat mendalam kerana hanya orang yang mempunyai ilmu berkenaan pokok cempedak dan sifat manusia sahaja boleh memahami kisah di sebalik pantun ini tanpa membacanya berulang kali.

Beliau turut mendeklamasikan sebuah sajak karya beliau berjudul “Pesan Abu Bakar” khas untuk para pendidik UPSI dan mengkaji Puisi “Aku” karya Chairil Anwar yang kelihatan mudah namun mempunyai pelbagai maksud tersirat di dalamnya. Program ini berjaya memberikan impak yang besar kepada hadirin dalam memahami dan menghayati kesusasteraan Melayu dengan lebih mendalam.
Program ini berjaya memberikan impak yang besar kepada hadirin dalam memahami dan menghayati kesusasteraan Melayu dengan lebih mendalam. Harapan pihak penganjur adalah agar program seperti ini dapat terus diadakan pada masa akan datang, dan semoga lebih ramai warga universiti serta masyarakat umum akan terlibat dan mendapat manfaat daripada program sebegini, sekaligus memperkukuh penggunaan dan penghayatan bahasa serta sastera Melayu dalam kehidupan seharian.