Disediakan oleh: En. Mohd Hashimi Ma’ani dan ChM Dr. Siti Munirah Sidik
11 Jun 2024
Tanjong Malim: Sebagai sebuah universiti awam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sangat komited dalam menyediakan fasiliti dan perkhidmatan terbaik bukan sahaja dalam bidang pendidikan malah turut serta dalam memperkasakan penyelidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat global.
Dalam usaha merealisasikan Pelan Strategik UPSI Teras 2 iaitu Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi yang telah dibentangkan dalam Amanat Naib Canselor oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato. Dr. Md Amin Md Taff pada 8 September 2021, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) telah mengambil tindakan proaktif bagi menjadikan makmal FSM-Labs sebagai peneraju makmal berakreditasi melalui penganugerahan Pensijilan MS ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM) pada 15 April 2024.
Memetik ucapan Naib Canselor UPSI dalam Majlis Aspirasi UPSI 2024 pada 7 Februari 2024, konsep BITARA menjadi landasan untuk UPSI memacu kejayaan lebih cemerlang pada masa depan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Inisiatif dan usaha FSM kearah mendapatkan akreditasi ini adalah sebagai menyokong kepada salah satu konsep yang diterjemahkan iaitu Inovasi dan Penyelidikan (I) bagi menjulang nama dan maruah UPSI. Pencapaian sijil akreditasi ini menunjukkan bahawa FSM-Labs mempunyai sistem pengurusan kualiti, fasiliti dan kemahiran yang menepati piawaian antarabangsa dan mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Menurut Pengurus Kualiti FSM-Labs Prof. Ts Dr. Ismail Zainol pembangunan akreditasi ini merupakan suatu asas bagi meningkat dan menambahbaik Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) kepada makmal yang terlibat dengan pelanggan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik. Pensijilan MS ISO/IEC 17025:2017 merupakan piawaian antarabangsa ke atas pengurusan makmal.
FSM-Labs menawarkan perkhidmatan analisis menerusi imej terhadap elemen kimia dan biologi dalam bahan pepejal menggunakan peralatan saintifik berteknologi tinggi Field Emission Scanning Electron Microscope (FESEM). Analisis ini mampu menghasilkan imej bersaiz nano dengan skala pembesaran lebih 800,000 kali ganda daripada pelbagai specimendan menyediakan pengimejan beresolusi tinggi dalam format digital.
Sepanjang tempoh pengoperasian, makmal ini telah terlibat aktif dalam proses pembelajaran dan penyelidikan, terutamanya kepada pelajar pascasiswazah dan penyelidik UPSI. Selain itu, makmal ini juga kerap menerima sampel daripada pihak luar UPSI seperti UPM, UiTM, HUKM, UMT serta beberapa agensi swasta seperti syarikat perindustrian dan kilang-kilang. Justeru, makmal ini juga merupakan antara penyumbang utama dalam penjanaan hasil perkhidmatan makmal di FSM.
Sebagai makluman, proses akreditasi ini telah bermula sejak tahun 2018 lagi dan telah melalui beberapa siri auditan iaitu Audit Kecukupan (Adequacy Audit) pada 5 April 2021, Audit Penilaian (Pre-Assessment Audit) pada 23 Februari 2023 dan Audit Pematuhan (Compliance Audit) pada 6-7 Disember 2023 oleh Jabatan Standard Malaysia.
Sepanjang tempoh ini, semua ahli jawatankuasa FSM-Labs yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah selaku Head of Management (HoM) sangat komited dalam urusan dokumentasi, latihan dan ujian kompetensi serta audit dalaman bagi memastikan FSM-Labs memenuhi segala syarat dan keperluan akreditasi.FSM-Labs merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk mereka di sebalik tabir dalam mencapai kejayaan memperolehi Sijil Akreditasi Makmal.
Dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata “Saya amat bersyukur dan berbangga kerana mempunyai kakitangan yang komited dalam usaha merealisasikan akreditasi ini. Seperti pepatah Bahasa Inggeris ‘ZERO to HERO’ sangat sesuai buat mereka.
Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI kerana membantu kami dan bersama-sama menaikkan nama UPSI.”
Semoga dengan kejayaan ini dapat meningkatkan kedudukan (ranking) serta membawa nama UPSI ke peringkat yang lebih tinggi terutama dalam bidang penyelidikan justeru menarik minat industri dalam dan luar negara untuk menjalinkan kerjasama bersama FSM dan UPSI.
Senarai ahli jawatankuasa FSM-Labs terdiri daripada Dekan FSM Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, Timbalan Dekan (Penyelidikan Dan Inovasi) Prof. Madya Dr. Rohaidah Masri, Pengurus Kualiti Prof. Ts. Dr. Ismail Zainol, Timbalan Pengurus Kualiti ChM Dr. Siti Munirah Sidik, Pengurus Teknikal (Biologi) Prof. Madya Dr. Nor Nafizah Mohd Noor dan Dr. Alene Tawang, Pengurus Teknikal (Kimia) ChM Dr. Wan Haslinda Wan Ahmad dan Dr. Izan Roshawaty Mustapa, Penyelia Makmal En. Mohd Hashimi Ma’ani, Pegawai Pembelian dan Penyelenggaraan Pn. Norasmeda Amri, Staf Makmal En. Mohd Akmal Farhan Rashid dan Pn. Radiah Idris, dan Pengawal Dokumen Dr. Norlinda Daud dan Pn. Johana Jumiran.