Oleh: Humairah Qaireena binti Abdullah 
11 Jun 2024

Tanjong Malim: Penggunaan robotik semakin berkembang dalam pendidikan di Malaysia dan penggunaannya dalam pendidikan membantu pelajar lebih fokus dalam pembelajaran kerana ia memerlukan aspek teori dan praktik.

Baru-baru ini, Exco Media, Publisiti dan Perhubungan Awam Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid sidang 2023/2024 telah berjaya mengadakan Program Malaysia Madani Robotics Challenge 2024 (MMRC24) yang berlangsung secara serentak di Dewan Harun Aminurrashid dan Dewan Kolej Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pengarah Program, Abdul Wafiy bin Kamarudin berkata bahawa program tersebut bukan sahaja dapat mengasah bakat pelajar menggunakan kreativiti serta pelbagai strategi untuk mereka bentuk dan membina robot sekali gus menggabungkan kepakaran dan inovasi pelajar, malah membolehkan pelajar membina pemikiran logik dan sistematik semasa peserta merancang pengaturcaraan robot tersebut.

Beliau berkata, acara lain yang turut dipertandingkan ialah penciptaan robo sumo fighter, robo soccer dan robo track mission. Pertandingan ini melibatkan kedua-dua jenis sekolah yang terdiri daripada sekolah rendah dan sekolah menengah. Pameran robotic innovation juga disertai oleh pasukan sekolah menengah dan pasukan institusi pengajian tinggi.

Program itu berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 April 2024 dengan melibatkan seramai 194 pasukan dari pelbagai sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi yang melibatkan 10 buah negeri. Malaysia Madani Robotics Challenge 2024 (MMRC24) merupakan salah satu program yang amat relevan dengan dunia masa kini dan bertujuan memberi penekanan terhadap aspek inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.

Turut hadir adalah Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, Penasihat Program, Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin, Cik Humaira binti Zulkafli, penolong ketua pegawai operasi JAZRO Techonology Robotics Sdn Bhd dan juga Encik Muhammad Zulhelmi bin Kamarudin, pemilik Mechabotics Technology Sdn Bhd dalam menjayakan program yang berimpak besar ini.

Program Malaysia Madani Robotics Challenge 2024 ini juga melibatkan kolaborasi dari beberapa syarikat robotik tempatan iaitu JAZRO Technology Robotics, Mechabotics Technology, Make X, DJI Malaysia, Creative Minds, World Of Robotics dan Petrosains.

Selain itu, Penasihat Program Malaysia Madani Robotics Challenge 2024 (MMRC24), Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin berkata bahawa program ini mempunyai keupayaan untuk menawarkan pelbagai peluang kepada pelajar untuk mendapatkan gambaran tentang pembangunan produk termaju dalam bidang teknologi. 

Beliau turut kagum dengan penglibatan peserta perempuan yang turut bersemangat untuk menyertai program ini. Kebiasaannya, dominasi peserta lelaki adalah melebihi peserta perempuan. Hal ini merupakan satu pencapaian yang baik bagi membuktikan bahawa bidang teknologi adalah fleksibel untuk diceburi oleh pelbagai jantina. Beliau juga berharap agar para pelajar dapat menggilap bakat sedia ada, menjadikan bidang robotik sebagai kerjaya pada masa hadapan dan secara tidak langsung dapat melahirkan anak bangsa yang celik dan pintar dari segi robotik dan inovasi.

Pengetua KHAR, Dr Haji Che Anuar Che Abdullah menyatakan bahawa penglibatan pelajar yang terdiri daripada pelbagai jenis institusi pendidikan ini menggambarkan bahawa bidang teknologi, iaitu bidang robotik khusunya mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dan mampu menjadi pendorong utama kejayaan dalam bidang teknologi negara.

Beliau turut menyatakan bahawa program yang telah dianjurkan tersebut bertujuan mendorong minat, kerjasama berpasukan dan keterampilan pelajar dalam robotik dan teknologi serta memberikan kesempatan kepada pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam situasi dunia nyata.

Beliau menambah lagi, dengan mengadakan pertandingan robotik tahunan itu diharap dapat menarik minat pelajar, dengan harapan lebih ramai pelajar akan mendapat inspirasi untuk mengikuti pertandingan robotik pada tahun yang seterusnya sekali gus mengembangkan keterampilan sosial yang sangat berharga sesuai inspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Tambahan pula, program ini juga dapat membantu orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai KHAR dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program Malaysia Madani Robotics Challenge 2024 (MMRC24) di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, namun ia juga dijadikan medan ilmu di mana para pelajar dapat memperoleh banyak pengalaman yang bermakna sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Diharapkan, acara ini akan terus diadakan setiap tahun untuk melahirkan dan memupuk generasi yang pintar dalam bidang robotik dalam kalangan pelajar.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)