Oleh: Beckham Bryan Jikseng Ukau dan Zezenazwa Yusri
12 Jun 2024

Kuala Kubu Bharu: Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) melalui Kursus HMS3073 Pembelajaran Berkhidmat telah mengadakan program “Rescue & Protect Bomba: Tonggak Penyelamatan Negara” di SMK Kalumpang, Selangor. Program ini berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 2.00 petang dan dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Abu Zarrin Selamat.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengetahuan demonstrasi keselamatan diri dalam kalangan pelajar sekolah. Selain itu, ia juga mendorong pelajar untuk lebih berdisiplin dan mampu memastikan keselamatan diri apabila berhadapan dengan situasi kecemasan. Pengetahuan ini penting supaya pelajar lebih peka dan tidak panik apabila menghadapi situasi mencabar, serta dapat mengaplikasikan kaedah penyelamatan jika berdepan dengan situasi genting.

Sesi perasmian Program Rescue & Protect Bomba

Menurut Dr. Abu Zarrin, program ini memberi kesedaran kepada pelajar tentang pentingnya pendedahan mengenai kaedah penyelamatan diri agar mereka sentiasa bersedia menghadapi situasi kecemasan yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Beliau mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa program atas kejayaan melaksanakan program yang memberikan impak positif dan bermanfaat kepada pelajar di SMK Kalumpang. Dr. Abu Zarrin juga menekankan bahawa program ini memberi pengetahuan mendalam tentang kaedah penyelamatan serta pendedahan maklumat terperinci, yang membantu pelajar bersedia menghadapi situasi yang tidak diingini dengan bijak.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program termasuk penerangan penyelamatan oleh pihak bomba, demonstrasi memadam kebakaran, dan slot aktiviti bersama jawatankuasa pelaksana. Program ini diakhiri dengan ucapan terima kasih daripada Pengarah Program, Beckhambryan Jikseng Ukau, serta sesi bergambar bersama semua yang terlibat.

Dengan pelaksanaan program sebegini, diharapkan para pelajar mendapat manfaat maksimum dari segi pengetahuan dan kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Program “Rescue & Protect Bomba: Tonggak Penyelamatan Negara” ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran keselamatan diri tetapi juga menyemai semangat tanggungjawab dalam kalangan pelajar terhadap keselamatan komuniti mereka.

Demonstrasi Memadam Kebakaran oleh pihak bomba