Oleh: Afifah Adriana Aznan
11 Jun 2024
Tanjong Malim: Sekolah Kebangsaan Methodist, Tanjong Malim menerima sumbangan sebanyak 30 naskhah al-Quran daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).
Sumbangan diserahkan oleh Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah kepada Guru Besar SK Methodist, Encik Zakaria Abdullah Sani di Sekolah Kebangsaan Methodist.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, Al-Quran yang diserahkan ini adalah wakaf dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan sumbangan ini adalah sebagai satu usaha menyemarakkan budaya membaca dan dakwah dalam kalangan warga sekolah ini.
“Al-Quran juga dapat membentuk prinsip-prinsip moral dan etika yang penting bagi perkembangan karakter dan keperibadian seseorang pelajar. Pihak sekolah dapat menggunakan kitab al-Quran sebagai dasar untuk membentuk nilai-nilai moral yang tinggi dalam pendidikan”, tambah beliau lagi dalam majlis penyerahan al-Quran.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata usaha ini membantu meningkatkan penghormatan terhadap al-Quran dan membentuk pemahaman yang benar tentang agama Islam.
“Pendekatan melalui pembelajaran Al-Quran ke dalam kurikulum sekolah, institusi pendidikan dapat memberikan sumbangan yang signifikan dalam pembentukan peribadi, pengembangan akademik, dan pemahaman yang lebih mendalam tentang nilai-nilai agama dan budaya”.
Encik Zakaria Abdullah Sani berkata, pihak sekolah amat berbesar hati dan berterima kasih kepada pihak UPSI atas sumbangan al-Quran yang dihulurkan ini. Semoga sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar dan pihak sekolah serta dapat merancakkan lagi aktiviti sekali gus menambah kecintaan terhadap kitab suci ini