Oleh: Ahmad Nurzid Rosli
11 Jun 2024
Tanjong Malim: Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah bekerjasama dengan Tech Capacity Sdn. Bhd. dan CelcomDigi Sdn. Bhd. untuk menganjurkan program integriti digital yang dikenali sebagai ‘Profile-U’.
Program ini dirancang khusus untuk menyediakan mahasiswa UPSI dengan kemahiran membina serta mengekalkan profil digital yang positif dan produktif ketika menggunakan laman sesawang atau media digital.
Program Profile-U bertujuan memperkasakan mahasiswa dengan kecekapan kepimpinan digital dan meningkatkan daya saing mereka di pasaran pekerjaan. Program ini melibatkan penyertaan seramai 150 orang mahasiswa UPSI dari pelbagai program di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
Program ini diketuai oleh Dr. Harnani Mat Zin dan dibantu oleh Dr. Suhazlan Suhaimi, Ahmad Nurzid Rosli, dan Nur Saadah Fathil. Program sehari ini telah dikendalikan oleh pengasas dan Pengarah Urusan Tech Capacity Sdn. Bhd., Datin Dr. Norrizan Razali, yang mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang akademik, pengurusan program, perundingan, dan dasar di institusi terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia.
Objektif utama program Profile-U adalah untuk menyediakan mahasiswa dengan kecekapan kepimpinan digital, melengkapkan mereka dengan kemahiran menyusun strategi dan mengekalkan jejak digital yang produktif serta mempercepatkan kesediaan peserta bersaing dalam pasaran pekerjaan. Kajian menunjukkan bahawa mahasiswa, terutama dari latar belakang sosioekonomi rendah, sering menghadapi masalah kekurangan pendedahan dalam menggunakan platform digital secara berkesan.
Kebanyakan mereka mempunyai profil digital yang lemah kerana menyiarkan kandungan yang tidak produktif dan meninggalkan jejak negatif daripada interaksi dalam talian mereka. Keadaan ini boleh memberi kesan buruk kepada peluang pekerjaan mereka selepas tamat pengajian. Dengan mengikuti program Profile-U, mahasiswa berpeluang menghasilkan profil digital yang baik dan meninggalkan jejak digital yang positif, memastikan mereka lebih bersedia dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.
Siri pertama program ini telah berlangsung pada 1 dan 2 Jun 2024, diikuti Siri kedua pada 22 dan 23 Jun 2024, dan Siri ketiga pada 7 dan 8 September 2024. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Dr. Harnani Mat Zin di FKMT. Sertai Profile-U dan jadilah pemimpin digital masa hadapan.