Oleh: Hafiz Majdi Romli
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan universiti awam pertama menawarkan program Tahfiz Al-Quran dan Qiraat mengorak langkah memperkasa mahasiswa melalui penganjuran Huffaz Champions League yang dikendalikan oleh Persatuan Tahfiz Qiraat dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK). Program itu menggunapakai modul I’adah al-Quran yang telah dijalankan di peringkat UPSI. Program ini bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah ini melibatkan mahasiswa semester 1 hingga semester 6.
Penyelaras Program Tahfiz al-Quran dan Qiraat, Dr Wan Muhammad Hafizuddin Wan Abd Halim berkata, menjadi kewajipan bagi setiap pelajar menguasai hafazan al-Quran daripada aspek hukum tajwid, makhraj, fasahah, kelancaran dan alunan bacaan, di samping mampu menguasai bentuk bacaan al-Quran yang pelbagai serta dapat mengaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat, Ummikalsum Mat Lazim berkata, peluang keemasan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua mahasiswa tahfiz UPSI yang berkemahiran menghafaz dan mengulang al-Quran sebagai persediaan sebelum bergelar guru tahfiz.
Pertandingan ini mempunyai enam kategori iaitu kategori 1 melibatkan Juzuk 1 hingga Juzuk 5, kategori 2 melibatkan Juzuk 6 hingga Juzuk 10, kategori 3 melibatkan Juzuk 11 hingga Juzuk 15, kategori 4 melibatkan Juzuk 16 hingga Juzuk 21, kategori 5 melibatkan Juzuk 22 hingga Juzuk 26 dan kategori 6 melibatkan Juzuk 27 hingga Juzuk 30. Penyertaan terbuka kepada mahasiswa dan mahasiswi kalangan huffaz UPSI. Program ini berkonsepkan liga dan ditentukan kumpulan perlawanan serta peserta perlu menjawab dengan pantas apabila soalan diajukan oleh juri. Markah terkumpul melayakkan peserta ke peringkat akhir.
Program diteruskan dengan majlis penyampaian hadiah dan cenderahati kepada semua peserta yang terlibat dalam pertandingan ini sebagai tanda penghargaan dan kesungguhan atas kesudian dalam menjayakan program kali ini.
Semoga program ini mampu melahirkan generasi al-Quran bukan sekadar menghafaz al-Quran semata-mata tetapi mengamalkannya dalam kehidupan seterusnya menjadi rujukan kepada masyarakat. Firman Allah swt dalam surah al-An’am ayat 153,
“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu daripada jalan Allah, itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”.