Oleh: Siti Aishah Hisham, Ahmad Najmuddin Marwan & Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim: Lebih 200 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPS) yang terdiri dalam kalangan mahasiswa dan warga kampus memeriahkan Malam Cinta Rasul bertemakan ‘Menelusuri Sunnah Menghayati Tradisi’ yang diadakan di Surau Al Falah, Kolej Aminuddin Baki baru-baru ini.
Penyelaras Program Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Dr. Wan Muhammad Hafizuddin Wan Abd Halim berkata, penganjuran program ini merupakan satu usaha awal bagi mengajak warga UPSI agar memperingati sejarah dan mengambil ibrah perjuangan Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah.”
Dalam perkongsiannya juga, beliau berkata antara tanda mencintai seseorang ialah kita ingin sentiasa dekat dengannya dan dalam konteks Rasulullah SAW, cara terbaik adalah dengan mengikut sunnah yang boleh kita pelajari daripada hadis sahih serta sirah hidup Baginda SAW. Selain melalui ceramah dan pengajian agama, mahasiswa diajak untuk memahami nilai-nilai yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, seperti toleransi, kesederhanaan, dan keadilan. Hal ini tidak hanya memperkuat keyakinan keagamaan, tetapi juga mendorong mahasiswa untuk mengimplementasikan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Program anjuran Persatuan Tahfiz Qiraat dengan kerjasama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dan Pusat Islam UPSI itu telah menyediakan pelbagai aktiviti kepada mereka yang hadir pada malam tersebut termasuklah tazkirah khas serta alunan selawat dan qasidah yang diketuai oleh kumpulan nasyid Em’basheer.