Oleh: Syafiena Natasya Samsul, Izzati A’liah Nordin dan Dr Sumayyah Aimi Mohd Najib
10 Jun 2024

Tanjong Malim: Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di bawah pengurusan Exco Kebajikan, Keselamatan, dan Kemasyarakatan dengan kerjasama Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah, dan Khairat (WEZAS) telah menganjurkan Program PERGEO Food Aid.

Program ini bertujuan mengagihkan makanan kepada individu atau kumpulan yang memerlukan di Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Program ini berfokus kepada elemen Amalan Pembangunan Lestari (SDG) khususnya SDG 2 (Kelaparan Sifar atau Zero Hunger) yang mana seramai 58 orang mahasiswa UPSI terlibat dalam program ini.

Program ini turut dihadiri oleh Penasihat Persatuan Geografi (PERGEO), Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, dan Yang Di-Pertua Persatuan Geografi, Bushra Assyakira binti Baharil Anuar. Pengarah Program ialah Nur Syafiena Natasha Samsul dan Timbalan Pengarah Program ialah Mohd Aiman Hakim Azhar daripada Exco Kebajikan, Keselamatan, dan Kemasyarakatan Persatuan Geografi sidang 2023/2024.

Program ini cuba membantu meringankan beban mahasiswa yang memerlukan, baik dalam keadaan kecemasan mahupun kekurangan makanan yang berterusan, bertepatan dengan keadaan ekonomi yang semakin meningkat. Exco Kebajikan, Keselamatan, dan Kemasyarakatan mengambil inisiatif jangka pendek dengan menyediakan keperluan asas dalam bentuk makanan. Selain itu, program ini bertujuan meningkatkan rasa tanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara aktivis Persatuan Geografi sidang 2023/2024.

Menurut Dr. Sumayyah Aimi, Program PERGEO Food Aid ini adalah inisiatif penting dalam memastikan kebajikan aktivis PERGEO sentiasa terjaga. Sasaran program kali ini adalah membantu 40 orang aktivis PERGEO, sejajar dengan SDG 2 (Kelaparan Sifar atau Zero Hunger) yang bertujuan menamatkan kelaparan dan mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik.

Sesi Pengagihan Bantuan Makanan kepada pelajar oleh Dr Sumayyah Aimi (dua dari kanan)

Beliau juga berkata bahawa program ini bukan sekadar untuk meringankan beban mereka, tetapi juga menyemai nilai-nilai murni seperti kepedulian sosial dan semangat kesukarelawanan. Program ini mencerminkan kebersamaan, kepelbagaian, dan keharmonian yang menjadi teras di UPSI. Beliau mengakhiri dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan acara ini serta penghargaan tinggi kepada semua penaja, petugas, dan Persatuan Geografi kerana menjayakan program ini.

Keseluruhan Program PERGEO Food Aid ini berjalan dengan baik dan tersusun serta memberi impak positif kepada semua peserta dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan dengan anjuran program kali ini, ia menjadi dorongan dan perangsang kepada mahasiswa UPSI yang lain.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)