Tanjong Malim: Program Khidmat Bakti di Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) merupakan satu inisiatif yang dijalankan oleh gabungan dua kursus di bawah dua fakulti berbeza. Sinergi di antara kursus UPU3412 Kesukarelawanan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dan KBK3113 Ko-kurikulum, Rekreasi dan Sokongan Komuniti dalam Pendidikan khas di bawah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan program berbentuk khidmat komuniti di empat buah Pusat Pemulihan dalam Komuniti di sekitar negeri Perak.

Perlaksanaan program ini melibatkan keseluruhan seramai 100 orang mahasiswa yang mempunyai latar belakang pengkhususan yang berbeza dibahagi kepada empat kumpulan program. Pusat Pemulihan dalam Komuniti yang terlibat PPDK Asy Syamsu, Beruas, PPDK Cahaya Qaseh, Batu Gajah, PPDK Teratak Qaseh, Tapah dan PPDK Nur Hidayah di Sitiawan.

Program Ceria Bersama Program Pemulihan dalam Komuniti Asy Samsu diadakan pada 29 Mei lalu melibatkan penyertaan seramai 21 orang mahasiswa. Pada tarikh yang sama juga, 21 orang mahasiswa lain menjalankan Program Khidmat Siswa Bersama Pusat Pemulihan dalam Komuniti Cahaya Qaseh di Batu Gajah yang diberi nama ‘Tak kenal Maka Tak Sayang’. Program dijalankan bertujuan untuk melibatkan mahasiswa dalam memberikan sokongan kepada PPDK. Melalui program ini, mahasiswa menjalankan beberapa aktiviti seperti aktiviti fizikal (senamrobik), gotong-royong dan sokongan komuniti untuk pelatih kurang Upaya. Program yang dijalankan juga bertujuan untuk melestarikan persekitaran PPDK yang telah lama tidak mendapat sentuhan baru daripada komuniti. Hasil program ini, mahasiswa UPSI berjaya menimbulkan suasana baru hasil aktiviti mengecat di bahagian pagar serta hadapan bangunan PDK.

Pensyarah serta mahasiswa UPSI bersama petugas PPDK Cahaya Qaseh Batu Gajah

Turut hadir pada program ini adalah Dr. Sakinah Sidek, pensyarah kursus UPU3412 Kesukarelawanan, serta Dr. Hasrul Hosshan pensyarah kursus KBK3113 Ko-kurikulum, Rekreasi dan Sokongan Komuniti dalam Pendidikan khas. Melalui program ini, pensyarah memainkan peranan penting dalam memberi panduan, bimbingan, sokongan kepada mahasiswa serta menjalankan penyeliaan terhadap kumpulan pelajar untuk memastikan segala perancangan dapat dijalankan dengan berkesan. Gabungan sumber dan tenaga pengajar yang berbeza menjadikan program khidmat bakti dilaksanakan dengan pendekatan dan kaedah yang unik. Dua kursus ini dapat melengkapi dan meningkatkan keberkesanan dan impak program kepada mahasiswa dan juga pelatih OKU. Malah, penglibatan pensyarah dalam aktiviti ini turut membantu meningkatkan jaringan antara Institusi Pendidikan dengan komuniti luar, di mana pertukaran kemahiran serta pengetahuan yang ada dapat dipindahkan kepada petugas di Pusat Pemulihan dalam Komuniti.

Pada 10 Jun pula, program di PDK Nur Hidayah, Setiawan yang melibatkan seramai 29 orang mahasiswa dan 20 orang pelatih PDK berlangsung. Antara  aktiviti yang dijalankan adalah, senamrobik, penanaman pokok hiasan, aktiviti dalam kumpulan bersama pelatih PDK serta gotong-royong di dalam kawasan bangunan PDK.  Turut hadir bagi program ini adalah pensyarah kursus serta setiausaha PPDK Nur Hidayah dan turut mendapat komitmen daripada petugas PDK serta ibu bapa pelatih yang sama-sama menghulurkan sumbangan makanan serta memberi ruang kepada anak-anak mereka pulang sedikit lewat daripada kebiasaan. Ini menunjukkan penganjuran program ini mendapat kerjasama erat daripada ibu bapa pelatih.

Kolaborasi ini turut dijalankan di PPDK Teratak Qaseh Tapah pada tarikh 4 Jun lalu. Kumpulan pelajar yang terdiri daripada 29 orang mahasiswa menjalankan aktiviti gotong-royong pembersihan di sekitar kawasan PDK, penanaman pokok hiasan serta menjalankan aktiviti kraftangan berbentuk anyaman. Turut hadir pada program ini adalah Ahli Jawatankuasa PPDK Teratak Qaseh Tapah yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Seramai 20 orang pelatih OKU juga turut hadir pada hari tersebut dan bersama-sama terlibat dalam aktiviti anyaman yang membantu meningkatkan perkembangan psikomotor mereka.

Aktiviti senamarobik bersama pelatih OKU PPDK Nur Hidayah, Setiawan

Tujuan program  ini adalah memberi kesedaran dan peluang kepada pelajar menyantuni golongan kurang upaya serta membina hubungan positif antara mahasiswa dengan komuniti luar menerusi program khidmat masyakarat. Melalui sinergi antara dua kursus ini dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar dan membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu dalam konteks yang lebih luas dan pelbagai. Malah penyertaan mahasiswa bersama Orang Kurang Upaya bukan sahaja dapat mengukuhkan nilai-nilai kemanusiaan mereka namun turut membantu dalam pembangunan komuniti yang inklusif dan penyayang.

Menurut Dr. Hasrul Hosshan, kolaborasi antara dua subjek di bawah fakulti yang berbeza memberi nilai tambah yang signifikan kepada pelajar. Ini membantu mereka sentiasa bersedia menghadapi cabaran dan mampu mencapai kesepakatan dalam membina kerjasama yang efektif dalam menjayakan sesuatu program. Beliau menekankan supaya inisiatif seperti ini dapat diadakan secara berterusan agar  pelajar dapat memperolehi manfaat dari aspek kemahiran, nilai serta pengetahuan yang komprehensif.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)