Oleh: Fajrul Solehien
22 Jun 2024

Tanjung Malim:  Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini melantik lima akademia ke jawatan Profesor sebagai mengiktiraf kepakaran mereka dalam bidang masing-masing.

            Majlis pelantikan yang diadakan di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Md Amin Md Taff.

            Dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), Prof. Dr. Nor Hasbiah Ubaidullah  dilantik sebagai profesor, mengiktiraf sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang komputeran dan teknologi meta.

            Sementara itu, dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM), empat lagi tokoh akademik  diberi penghormatan yang sama iaitu Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, Prof. Dr. Rosmilah Misnan, Prof. Dr. Azmi Mohamed, dan Prof. Dr. Haniza Hanim Mohd Zain.

            Prof Datuk Dr Md Amin dalam ucapan penghargaannya berkata  majlis diadakan  bertujuan bukan sahaja untuk meraikan  pencapaian peribadi tokoh-tokoh akademik ini tetapi juga untuk mengiktiraf sumbangan mereka kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

            “Pengiktirafan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga akademik di UPSI untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing, “ katanya.

Prof Md Amin menyampaikan surat pelantikan kepada Prof Dr Azmi Mohamed yang juga Pengarah Jabatan Strategik UPSI.

            Majlis pelantikan itu, katanya,  selain  satu pengiktirafan, malah menyediakan platform untuk para profesor berkongsi pengalaman dan visi mereka dalam memajukan pendidikan tinggi.

            Katanya, ia termasuklah strategi untuk meningkatkan kualiti penyelidikan, memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui ilmu dan kepakaran yang dimiliki.

            “Majlis Perlantikan Profesor di UPSI adalah  satu langkah penting dalam menghargai dan mempromosikan budaya kecemerlangan akademik dan diharapkan  profesor yang dilantik akan terus memberikan sumbangan bermakna kepada universiti dan masyarakat keseluruhannya,” katanya.

            Akademia UPSI yang dilantik,  katanya,  diyakini memiliki nilai dan ciri-ciri akademia yang “Budiman”   (Budi Ilmu dan Iman) selaras  dengan moto universiti sejak penubuhannya  iaitu “Pengetahuan Suluh Budiman “  dan universiti sebagai  Ibu Kandung Suluh Budiman. 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)