Oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Siti Fatimah Mohamed
22 Jun 2024
Tanjong Malim: Program Parents Support Group Meeting & Open Day Sekolah Rendah Seri Budiman berlangsung pada 22 Jun 2024 yang dihadiri oleh ibu bapa murid sesi 2024 dan ibu bapa murid yang bakal mendaftar untuk ambilan 2025.
Pendaftaran ibu bapa dimulai pada pukul 7.45 pagi dan majlis diserikan dengan persembahan dari kumpulan Busker Fakulti Pembangunan Manusia sementara menunggu kehadiran para ibu bapa. Tepat jam 8.30 pagi, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Luqman, guru Sekolah Rendah Seri Budiman, untuk memberkati perjalanan majlis ini.
Dr. Kama Shaffeei, Chief of Education Sekolah Rendah Seri Budiman, menyampaikan ucapan aluan, mengucapkan terima kasih kepada para ibu bapa yang hadir, dan memberikan penerangan tentang sekolah kepada ibu bapa ambilan sesi 2025. Majlis diteruskan dengan perkongsian tentang “Peranan Ibubapa Sebagai Kumpulan Sokongan Sekolah: Pendekatan Kaunseling Kepada Anak-Anak” oleh Dr. Norsayyidatina Che Rozubi, Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia dan kaunselor berdaftar. Dalam sesi perkongsian ini, Dr. Norsayyidatina memberikan pendedahan tentang isu-isu yang dihadapi oleh anak-anak masa kini, asas kemahiran kaunseling yang boleh dipraktikkan di rumah, serta terapi kreatif yang boleh dilakukan bersama anak-anak. Beliau menekankan betapa pentingnya mengungkapkan kasih sayang kepada anak-anak selagi masih ada peluang kerana mereka adalah anugerah yang tidak ternilai.
Pada masa yang sama, Ujian 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dilaksanakan kepada murid-murid ambilan sesi 2025 oleh guru Sekolah Rendah Seri Budiman. Majlis diteruskan dengan sesi bergambar bersama ibu bapa dan jemputan yang hadir, diikuti sesi minum pagi yang dihiburkan dengan persembahan kumpulan Busker Fakulti Pembangunan Manusia.
Pada pukul 10.30 pagi, majlis diteruskan dengan taklimat aktiviti sokongan Sekolah Rendah Seri Budiman. Taklimat dimulakan dengan penerangan Silat Cekak oleh Encik Hanif Abdul Razak, wakil Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UPSI dan staf Pusat Kesihatan Universiti UPSI, yang memberikan penerangan tentang sejarah Silat Cekak dan butiran mengenai kelas yang akan diadakan. Seterusnya, Puan Nur Nabila Michael Lung Abdullah, Pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, menyampaikan taklimat kelas tarian, menerangkan tentang pendekatan tarian kepada anak-anak dan bagaimana tarian dapat membantu perkembangan mereka. Taklimat terakhir adalah mengenai aktiviti golf, disampaikan oleh Dr. Omar Firdaus Mohd Said, Pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, yang menerangkan cara pengendalian kelas golf dan pendekatan mudah untuk anak-anak.
Majlis kemudian diserahkan kembali kepada Dr. Kama untuk sesi perbincangan usul dari ibu bapa pelajar sesi 2024. Seterusnya, majlis dibuka kepada ibu bapa untuk bertanyakan soalan-soalan yang bermain di fikiran mereka. Majlis diakhiri dengan sesi perjumpaan ibu bapa dengan guru-guru untuk membincangkan tahap prestasi murid-murid.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada kakitangan Sekolah Rendah Seri Budiman dan ibu bapa yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga banyak lagi program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan untuk memacu kemajuan Sekolah Rendah Seri Budiman dan memberikan impak positif kepada pembangunan dan kesejahteraan anak-anak didik sekolah ini.