Oleh: Nurul Akmal Mohamed, Muhammad Shahrul Hafizat Ramli, Sufi Rufia Torong,Intan Zahira Mohd Nor, Norhayati Ahmat
Kuala Kubu Baru, 20 Jun 2024 : Seramai 37 orang fasilitator dan 2 orang pensyarah UPSI yang terlibat dalam program The Financial Math Challenge yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa, Kuala Kubu Baru, Selangor. Program ini adalah satu program yang berbentuk khidmat komuniti yang dijalankan oleh pelajar kursus SMF3013 Financial Mathematics daripada Jabatan Matematik dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti, UCTC dan SMK Gedangsa.
Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa yang terletak di Kuala Kubu Baru, Selangor ini merupakan salah satu Sekolah BITARA UPSI. Antara objektif pelaksanaan Sekolah Bitara ini adalah untuk membantu pihak sekolah dalam mempertingkatkan pencapaian, untuk memberi bantuan kepakaran UPSI kepada pihak sekolah sama ada kepada pelajar dan guru, untuk mengadakan kolaborasi penyelidikan secara bersama dan untuk mengadakan program-program yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Program The Financial Math Challenge ini bertujuan untuk memperkenalkan konsep kewangan di samping memantapkan lagi pengetahuan pelajar berkaitan dengan topik kewangan di peringkat menengah atas dengan menjalankan beberapa aktiviti STEM yang mudah dan sesuai dengan standard pembelajaran Matematik di sekolah. Program ini juga berkonsepkan pemindahan ilmu dan kepakaran yang diperoleh pelajar UPSI melalui kursus SMF 3013 Financial Mathematics kepada murid sekolah. Program ini mensasarkan tajuk kesepuluh dalam sukatan pembelajaran matematik tingkatan 4 iaitu pengurusan kewangan. Seramai 54 orang pelajar sekolah yang terlibat yang terdiri daripada 20 orang pelajar daripada tingkatan 4 dan 34 orang pelajar daripada tingkatan 5.
Pengarah program, Muhammad Amirul Irfan Abdul Ghani, berkata “Setiap permainan memiliki komponen tersendiri, permainan pertama melibatkan sejauh mana kefahaman dan pengetahuan kalian dalam subjek matematik, disini kalian perlu mengasah kemahiran berfikir dan bekerjasama dalam satu pasukan. Bagi permainan kedua pula bertujuan untuk melatih kalian bijak berbelanja, berbelanjalah mengikut kemampuan dan kesesuaian, jadilah seorang pengguna yang bijak. Dan permainan ketiga pula menerapkan kepentingan kewangan dan pentingnya menabung agar dapat digunakan pada masa akan datang. Jadi diharapkan dengan adanya aktiviti seperti ini mampu memberikan impak yang positif dalam diri kalian semua.”
Program The Financial Math Challenge ini mampu memberikan impak positif buat pelajar terutama pengetahuan berkaitan kewangan dengan penyampaian yang sangat mudah difahami. Dr. Nurul Akmal Mohamed mengatakan “Program ini sangat bermanfaat buat pelajar dan semua pihak, diharapkan kita mampu melaksanakan program seperti ini pada masa akan datang. Program ini berjaya mencapai objektif yang dikehendaki iaitu membantu pelajar mempelajari dan menguasai topik yang agak susah dalam pelajaran matematik ini. Diharapkan dengan kerjasama antara UPSI dan SMK Gedangsa mampu memberi manfaat buat pelajar di sini.”
Program ini mendapat maklum balas yang positif daripada pihak sekolah dan pelajar terutama guru pelajaran matematik. Maklum balas daripada pelajar juga mengatakan bahawa program ini sangat menarik dan mudah untuk difahami. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.