Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
Tanjong Malim, 24 Jun 2024: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan dari Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry, Banda Aceh. NCDRC dipilih sebagai pusat rujukan pendidikan awal kanak-kanak yang menyediakan fasiliti dan perkhidmatan menyeluruh, termasuk TASKA dan TADIKA.
Menurut Pengurus TASKA dan TADIKA NCDRC, Norazlina Khairuddin, pemilihan NCDRC sebagai pusat rujukan bertepatan dengan fungsi utamanya sebagai pusat rujukan kebangsaan di Malaysia yang komited dalam penjagaan, pendidikan, dan pembangunan awal kanak-kanak. NCDRC juga menjalankan penyelidikan, penerbitan, perundingan, dan latihan berkaitan.
“Lawatan penanda aras oleh delegasi dari Universitas Islam Negeri Ar-Raniry ini menunjukkan komitmen NCDRC untuk sentiasa bersedia berkongsi prinsip Amalan Bersesuaian Perkembangan (ABP) atau Developmentally Appropriate Practice yang dilaksanakan di sini, terutamanya melibatkan Project Approach,” ujar beliau.
Keunikan modul TASKA dan TADIKA di NCDRC adalah penerapan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan projek yang melibatkan penyiasatan mendalam kanak-kanak tentang sesuatu topik. Pendekatan ini menarik minat delegasi dari Unit Pendidikan Islam Anak Usia Dini, Fakultas Tarbiyah Dan Keguruan, Universitas Islam Negeri (UIN) Ar Raniry untuk merangka kerjasama dengan NCDRC dalam berkongsi kepakaran melibatkan pensyarah dan pelajar bagi program Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Selain itu, perbincangan turut dilaksanakan selepas sesi lawatan penanda aras. Bersama dalam perbincangan adalah Dr. Intan Farahana Abdul Rani selaku Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti di NCDRC. Perbincangan melibatkan potensi kerjasama masa depan dalam perundingan, penyelidikan, dan jemputan untuk mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah.
Kunjungan ini merupakan suntikan positif bagi NCDRC untuk terus membantu dan berkongsi sumber pendidikan dan kepakaran bersama komuniti, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.