Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
24 Jun 2024

Tanjung Malim: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan seramai 29 orang pelajar dan pensyarah dari Qinghai Minzu University, China melalui Malaysian Arts & Cultural Experience (MAC-X) International Mobility Programme pada 20 Jun 2024. Kunjungan ini bertujuan untuk melihat fasiliti dan perkhidmatan yang terdapat di NCDRC.

Antara pengisian program mobiliti (Inbound) Jangka Pendek dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI ini adalah untuk mempromosikan keunikan UPSI, termasuk NCDRC sebagai pusat rujukan kebangsaan di Malaysia yang komited dalam penjagaan, pendidikan, pembangunan, penyelidikan, penerbitan, perundingan, dan latihan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.

Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Mustafa, pemilihan NCDRC untuk terlibat dalam mempromosikan UPSI merupakan suntikan positif bagi meningkatkan keterlihatan UPSI.

“Lawatan yang melibatkan para pelajar dan pensyarah dari Qinghai Minzu University ini menunjukkan komitmen NCDRC untuk berkongsi keunikan fasiliti dan perkhidmatan, termasuk acuan TASKA dan TADIKA NCDRC serta perkhidmatan sebagai pakar rujuk dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak,” ujar beliau.

Sebelum lawatan bermula, taklimat dan kata alu-aluan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Mustafa, menerangkan fasiliti, kemudahan, dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh NCDRC. Ini penting bagi memastikan kesinambungan kerjasama yang berpotensi pada masa akan datang, melibatkan kolaborasi dalam perundingan, penyelidikan, dan jemputan untuk mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah di NCDRC.

Kunjungan ini merupakan lonjakan bagi NCDRC untuk terus berusaha meningkatkan keterlihatan dan memberikan komitmen tinggi dalam membawa nama UPSI ke persada global, khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)