Lebih 200 mahasiswa diraikan dalam AKP FSM di Dewan Kolej Za’Ba
Oleh: Nazatul Najwa Rossimy
Tanjong Malim, 5 Julai 2024- Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar (AKP) FSM 2024, bertempat di Dewan Kolej Za’ba, Kolej Sultan Azlan Shah, UPSI hari ini. AKP FSM 2024 merupakan satu platform bagi mengiktiraf pencapaian di luar bidang akademik mahasiswa di FSM dan menjadi medan persediaan awal untuk AKP UPSI yang akan berlangsung pada hujung tahun nanti. AKP FSM 2024 juga bertujuan untuk meraikan mahasiswa FSM yang telah mengharumkan nama fakulti dalam pelbagai bidang serta menyuntik semangat semua mahasiswa FSM untuk meningkatkan lagi prestasi yang cemerlang.
Majlis ini dijayakan dengan kolaborasi strategik dengan banyak pihak termasuklah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Kolej Za’ba (KZ), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS), Kelab Rakan Astronomi (RASTRO), Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), Media Seekers, Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) dan Regalia Band.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin. Melalui ucapan perasmian Profesor Dr. Norkhalid, beliau menegaskan bahawa UPSI sentiasa memberi penekanan dan melihat pencapaian mahasiswa secara holistik dengan penerapan nilai adab dan akhlak yang terbaik. Menurut beliau, ilmu bukan sekadar di bilik kuliah dan makmal sains semata-mata, malah ilmu dapat dicari dan digali di merata tempat di UPSI dan sekitarnya. Dalam ucapannya beliau turut mengingatkan seluruh hadirin, terutamanya bakal pendidik dalam kalangan mahasiswa FSM untuk terus mendalami ilmu sehingga menjumpai ruh dan jiwa sebagai seorang pendidik yang bijak akademik, adab dan akhlak.
Dekan FSM, Profesor Madya Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah turut berasa terharu dengan penganjuran program yang julung kali dianjurkan selain menjadi fakulti pertama yang melaksanakan AKP yang selaras dengan AKP UPSI. Sebanyak 20 anugerah telah dipertandingkan merangkumi 3 anugerah utama, 9 anugerah kepimpinan, 7 anugerah ikon dan 1 anugerah khas individu, kesemuanya telah diadili dan dihakimi oleh barisan panel penilai seramai enam orang. Beliau turut menggalakkan mahasiswa FSM untuk merebut anugerah utama universiti seperti Anugerah Pelajaran DiRaja (APDR) pada konvokesyen UPSI berikutnya. Beliau mengharapkan agar mahasiswa FSM menjadi qudwah hasanah, contoh teladan yang baik dan boleh dijadikan sebagai ikatan dan inspirasi seluruh mahasiswa di Malaysia terutamanya mahasiswa UPSI.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FSM UPSI, Ketua Jabatan Biologi FSM UPSI, YDP MPP, barisan penasihat badan pelajar dan akademik, barisan panel penilai AKP FSM 2024, barisan pensyarah dan pengurusan fakulti, barisan pimpinan pelajar, ahli jawatankuasa pelaksana, calon AKP FSM 2024 dan juga mahasiswa FSM.
Tiga anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Pemimpin Harapan FSM telah dimenangi oleh Abbas Ali Iftikhar Hussain, Anugerah Tokoh Ikon Harapan FSM telah dimenangi oleh Wan Mohamed Syazwan Wan Mohamed Hanif dan Anugerah Badan Pelajar Terbaik FSM telah dimenangi oleh Kelab Rakan Alam Sekitar. Keseluruhannya, sebanyak 51 pencalonan telah diterima bagi kesemua anugerah, sekaligus menggambarkan kekuatan takungan bakat yang ada di FSM.
Diharapkan agar melalui penganjuran program AKP FSM 2024, lebih ramai mahasiswa UPSI terutamanya mahasiswa FSM, terinspirasi untuk menjadi lebih proaktif dan cemerlang dalam akademik dan bidang-bidang yang lain.