Tanjung Malim:  Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dengan program Siswa Sulung 2.0 disaran  meningkatkan keterampilan dalam tiga aspek bagi menghadapi cabaran kehidupan selepas bergraduat.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff  ketika berucap merasmikan majlis  Siswa Sulung 2.0 di Dewan Banquet, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah hari ini berharap semua mahasiswa di bawah program berkenaan menguasai sekurangnya tiga bahasa termasuk bahasa antarabangsa bagi menyerlahkan keterampilan mereka.

Selain itu, katanya, mereka juga perlu menjadi benteng hadapan fakulti dalam menyerlahkan peranan kesukarelawanan sehingga menjulang nama fakulti masing-masing.

“Saya juga inginkan mahasiswa program ini menguasai pelbagai kemahiran seperti yang didedahkan  oleh universiti sepanjang pengajian mereka,’ katanya.

Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama mahasiswa penerima Program Siswa Sulung 2.0 UPSI

Majlis anjuran Seksyen Kebajikan dan Perkhidmatan Pelajar (SKPP) Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) itu  menyaksikan seramai 116 mahasiswa yang kesemuanya dari kategori B40 menerima replika cek sumbangan pembiayaan pendidikan untuk menampung pengajian mereka. 

Prof Md Amin berkata mahasiswa yang menerima pembiayaan setiap semester itu  bukan menjadi sesuatu hak, tetapi amanah yang istimewa diberikan oleh Allah SWT ketika  orang lain tidak memperolehinya.

Gimik Perasmian Majlis Pelancaran Program Siswa Sulung 2.0

“Mahasiswa  Program Sulung 2.0 mendapat manfaat pengecualian lima  jenis yuran sebagaimana yang dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi universiti mengikut semester masing-masing yang berbeza dengan julat pembiayaan di antara RM72,000.00 sehingga RM90,000.00 mengikut bidang pengajian bagi keseluruhan 116 pelajar program Sulung 2.0”, katanya.

Beliau berkata iltizam Program Sulung bermula pada tahun 2022 hasil cetusan idea mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Sri Noraini  Abdullah yang melihat akan pentingnya anak-anak yang sulung didalam keluarga yang pertama masuk ke universiti yang berstatus B40.

“Saya yakin anak-anak mahasiswa B40 memiliki daya tahan yang tinggi dalam mengharungi cabaran sepanjang pengajian sehingga tamat pengajian, “katanya.

UPSI, katanya, adalah antara lapan buah universiti awam yang terpilih untuk melaksanakan program Siswa Sulung di Malaysia demi kebajikan mahasiswa.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)