Disediakan oleh: Muhammad Abu Hurairah Bin Muhammad Zain, FKMT, UPSI

UPSI, 30 Jun 2024 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) telah berjaya menganjurkan acara sukan fakulti bertemakan “Grand Meta-Vengers Sportfiesta” yang berlangsung dari 24 hingga 30 Jun 2024, bertempat di SportSpace (Outdoor), KSAS dan Auditorium Utama, KSAJS, UPSI. Acara ini merupakan penganjuran kali kedua dan terbuka kepada semua pelajar FKMT, termasuk pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma.

Buat pertama kalinya, pertandingan dalam talian (e-Sport) turut diadakan, yang bertujuan menyediakan platform bagi warga FKMT menonjolkan bakat dalam bidang kesukanan serta merapatkan lagi ukhwah antara pelajar fakulti. Pertandingan dalam talian Mobile Legend Bang Bang (MLBB) berlangsung dari 24 hingga 28 Jun 2024 secara online, dengan penyertaan seramai 70 orang peserta. Pusingan akhir e-Sport diadakan pada 30 Jun 2024 di Auditorium Utama dan disiarkan secara langsung di Facebook Persatuan Teknologi Maklumat (PTM).

Pada 29 Jun 2024, acara sukan fizikal seperti Bola Tampar, Bola Jaring, dan Futsal telah berlangsung dengan penyertaan seramai 276 peserta dari kalangan mahasiswa FKMT. Majlis penutupan Grand Meta-Vengers Sportfiesta diadakan pada 30 Jun 2024 di Auditorium Utama, disempurnakan oleh Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKMT.

Pengarah program, Nurhafiza Nadzirah binti Saiful, yang merupakan pelajar semester 2 di FKMT, melahirkan rasa bangga atas kejayaan penganjuran ini. “Ini merupakan kali pertama saya menjadi pengarah program, dan saya berasa amat berbangga dengan komitmen serta kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak. Saya berharap acara ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terlibat aktif dalam aktiviti kesukanan,” katanya.

Penganjuran kali ini menyaksikan kolaborasi Persatuan Teknologi Maklumat dengan Kelab Bola Tampar UPSI, Kelab Bola Jaring (Jumperz UPSI), dan Esport Club UPSI. Kerjasama ini bukan sahaja memberi pendedahan mendalam mengenai setiap sukan yang dijalankan, malah kelab-kelab tersebut juga menyumbangkan tenaga kerja dalam menjayakan program ini.

Diharapkan hari sukan fakulti ini dapat menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, membawa manfaat kesihatan, kebersamaan, serta kegembiraan kepada seluruh warga fakulti. Semoga usaha yang telah dilaksanakan pada tahun ini akan terus dipertingkatkan pada masa akan datang demi kecemerlangan bersama.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)